Anda di sini

Impian di bahu Sunardi

Advertisement

Lucas

Jurulatih lawan pedang dari Indonesia itu diyakini mampu bawa kejayaan

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bersetuju melantik jurulatih lawan pedang dari Indonesia, Sunardi bagi membimbing skuad negeri menghadapi SUKMA XVIII yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Pemangku Pengarah MSNS, Lucas Kalang Laeng mengesahkan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Mempawah, Kalimantan Barat itu semalam setelah yakin beliau mampu membawa kejayaan buat Sarawak pada temasya tahunan itu nanti.

“Kita telah bersetuju melantik Sunardi sebagai jurulatih skuad lawan pedang dan beliau akan memulakan tugas dalam tempoh terdekat,” katanya semalam.

Lucas sebelum ini pernah melawat sekolah lawan pedang milik Sunardi yang terletak di Mempawah, Kalimantan Barat pada 19 September lepas.

“Setelah melihat apa yang Sunardi usahakan di sana, kita percaya beliau mampu membantu kita memenangi pingat pada SUKMA nanti.

“Malah, beliau mempunyai rekod yang cemerlang dengan banyak membantu melahirkan ramai atlet lawan pedang Indonesia yang berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tugas pertama Sunardi ialah membantu pemilihan atlet bayangan SUKMA 2015 bertempat di SMK Sibu Jaya pada dua minggu lepas.

Dalam sesi pemilihan tersebut, beliau telah mengenal pasti 18 atlet bayangan (9 lelaki dan 9 wanita).

Sunardi mempunyai pengalaman meluas selama 32 tahun melatih atlet lawan pedang Indonesia dan sering terlibat dalam kejohanan seperti Pekan Olahraga Nasional (PON) dan kejohanan antarabangsa lain.

Di bawah kendaliannya, skuad kebangsaan Indonesia berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 di Filipina menerusi acara foil wanita.

Beliau juga pernah melatih atlet atlet lawan pedang Negeri Sembilan pada 2008 dan 2011.

Semasa ditemuramah Utusan Borneo sebelum ini, Sunardi berkata beliau bersedia menyumbang kepakarannya untuk membantu Sarawak menggondol pingat pada SUKMA nanti.

Tambahnya, beliau akan memulakan tugas sebagai jurulatih bermula pada 7 November depan.

Advertisement