Anda di sini

Gourlay akan tinggalkan Chelsea

Advertisement

LONDON, England: Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea, berkata Rabu lepas di mana Ketua Eksekutif (CEO) kelab, Ron Gourlay, akan melepaskan jawatan beliau di kelab itu ‘untuk mencari peluang perniagaan baharu”.

Gourlay, yang pernah bekerja dengan Manchester United dan pengeluar jenama sukan, Umbro, kali pertama tiba di Stamford Bridge pada 2004 dan bekerja sebagai ketua pegawai operasi sebelum menggantikan Peter Kenyon sebagai CEO pada 2009.

“Kelab Bola Sepak Chelsea mengumumkan bahawa Ron Gourlay, selepas 10 tahun berjaya di kelab termasuk lima tahun sebagai CEO, akan meninggalkan Chelsea dalam usaha untuk memburu peluang perniagaan baharu,” kata satu kenyataan kelab.

Gourlay meninggalkan Chelsea dengan kelab berada di kemuncak bola sepak Inggeris dan mengharungi salah satu tempoh paling berjaya dalam sejarah kelab, yang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua trofi Piala FA, satu piala Liga Europa dan Liga Juara-Juara pada 2012 – kejuaraan Eropah pertama buat Chelsea dalam sejarah kelab.

Beliau juga merancang kepulangan Jose Mourinho di Chelsea dan juga mendapatkan penajaan lumayan untuk syarikat pengeluar pakaian sukan Adidas bernilai hampir 300 juta pound untuk tempoh 10 tahun.

“Kelab, dan terutama sekali pemilik (Roman Abramovich) dan lembaga pengarah, mahu berterima kasih kepada Ron di atas sumbangannya kepada Chelsea dan menyokong hasrat beliau untuk mencari cabaran baharu,” kata kenyataan Chelsea.

“Usaha Ron telah membantu kelab mencapai kedudukannya sebagai salah sebuah kelab utama di dunia.

“Sementara menunggu pelantikan baharu, pengerusi kelab, Bruce Buck dan anggota pengarah, Marina Granovskaia, akan memikul tanggungjawab tambahan.”

Gourlay, yang tidak menggariskan masa sebenar beliau akan meninggalkan kelab, berkata: “Ia satu penghormatan untuk memainkan satu peranan yang dianggap berjaya dalam dan luar padang dalam tempoh 10 tahun terakhir tetapi saya merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk mencuba cabaran baharu.

“Saya mahu berterima kasih kepada Abramovich, pengarah kelab, pengurus dan pemain serta semua kakitangan di atas sokongan mereka semasa saya di kelab, dan mengharapkan mereka mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.” — AFP

Advertisement