Anda di sini

Staf Jabatan Penerangan digesa tingkat kualiti kerja

Advertisement

KUCHING: Setiap warga kerja Jabatan Penerangan Malaysia sentiasa digesa menggandakan usaha bagi meningkatkan disiplin serta kualiti kerja.

Menurut Pemangku Pengarah Penerangan Negeri Zaini Mohamad dalam kenyataan akhbarnya semalam, usaha itu merangkumi pemupukan nilai kreativiti dan inovatif dalam melakukan tugas harian bagi mencapai hasil kerja terbaik.

Zaini turut menasihati warga penerangan agar mengamalkan amalan yang baik, dedikasi yang tinggi, menepati masa dan fokus kepada tugas harian dalam memastikan Jabatan Penerangan sentiasa bergerak maju.

Selain itu, beliau turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pegawai yang telah bertugas dengan baik dalam mengendalikan program anjuran jabatan seperti Bicarawara Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Majlis Penyampaian Hadiah Esei Kenegaraan.

Kedua-dua program tersebut masing-masing diadakan di Miri pada 19 Oktober dan di Kuching pada 18 Oktober lalu.

Pada masa sama, jabatan turut mengundang penceramah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak untuk memberi penerangan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang bertajuk ‘Peranan DBP dalam Melestarikan Bahasa Kebangsaan’.

Ceramah itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Samuel Simon dan Pegawai Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan Aziz Abdul Rahman.

Advertisement