Anda di sini

Sebar maklumat dengan jelas, elak kekeliruan

Advertisement

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu pihak dipertanggungjawabkan supaya menyampaikan maklumat atau dasar yang lebih jelas kepada rakyat bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Menurut beliau, banyak kerja baik yang dilakukan kerajaan tidak disampaikan dengan betul sehingga ia menjadi medan kepada sesetengah pihak untuk menghasut dan mengelirukan rakyat.

“Komunikasi sangat penting kerana medium tersebut adalah mesej untuk memberi maklumat yang jelas, tepat dan relevan yang menangani kebimbangan rakyat.

“Kebanyakan kerja yang baik dibuat oleh kerajaan tidak disampaikan dengan baik sekali gus mengelirukan rakyat.

“Ini adalah kelemahan kerajaan yang menyebabkan kita mempunyai masalah dengan empangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SAINS Bersama Media yang dihadiri Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Datuk Teo Tien Hiong di sini, malam kelmarin.

Adenan memberitahu, misalnya kerajaan telah membelanjakan lebih RM1 bilion untuk projek penempatan semula kepada beberapa keluarga terjejas akibat pembangunan empangan hidro, di mana kerajaan menyediakan kemudahan dan mematuhi semua peraturan antarabangsa.

“Bagaimanapun ia telah dijadikan oleh pendesak untuk menghasut orang ramai kerana kita gagal memberi penjelasan yang baik.

“Maka itu ini telah memberi kita nama buruk di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau amat mengalukan langkah SAINS memulakan Infocast Kenyalang (IK) yang diyakini mampu melaksanakan peranan penting sebagai saluran komunikasi utama merapatkan hubungan kerajaan dan rakyat.

Adenan memberitahu, dengan saluran komunikasi yang tepat, ia mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak untuk terus melangkah ke hadapan.

IK katanya, dapat menjadi saluran komunikasi yang merapatkan rakyat pelbagai kaum di negeri ini dengan maklumat dalam arus pembangunan.

“Saya menyeru kepada semua agensi kerajaan supaya bekerjasama dengan SAINS dalam perkara ini dan menggunakan saluran baharu ini untuk mendekati rakyat dengan membawa maklumat penting kepada mereka.

“Bukan sahaja maklumat berkaitan dengan apa yang kita mahukan tetapi maklumat yang mereka mahukan,” tegasnya.

Advertisement