Anda di sini

Sarawak catat bilangan perokok tertinggi

Advertisement

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

Kajian libatkan 1,633 pelajar dapati 19.6 peratus terlibat secara langsung dengan gejala ini

MIRI: Kajian mengenal pasti Sarawak sebagai negeri yang mencatat statistik tertinggi jumlah penduduk menghisap rokok.

Dalam kajian oleh National Health And Morbidity Survey (NHMS) 2012 melibatkan 1,633 pelajar berumur 13 hingga 17 tahun yang dipilih secara rawak, 19.6 peratus menyatakan bahawa mereka terlibat secara langsung dengan gejala tidak sihat itu.

“Catatan itu lebih tinggi daripada statistik kebangsaan, cuma 11.5 peratus,” kata Timbalan Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Veronica Lugah kepada Utusan Borneo semalam.

Lebih teruk, dalam kajian itu seramai 69 peratus didapati menghisap rokok secara aktif sebelum mencecah umur 14 tahun.

“Manakala 36.7 peratus pelajar menyatakan bahawa mereka terdedah kepada asap rokok di rumah,” katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Veronica, langkah kerajaan menaikkan harga rokok sehingga 10 peratus ternyata berjaya memberi kesan mengurangkan jumlah perokok sekali gus menghalang mereka merokok pada usia muda.

Bagi negeri Sarawak, terdapat program antimerokok dilaksana pada tahun ini termasuk perkhidmatan berhenti merokok di 52 klinik kesihatan dan 20 hospital di Sarawak.

Katanya ia turut dibantu oleh Kempen Cara Hidup Sihat (KCHS), program Nafas Baharu Menjelang Ramadan, KOSPEN, COMBI Sihat, Kempen Reben Biru dan program khas zon bebas asap rokok.

“Mulu dan Taman Tasik Bukit Mas antara zon bebas asap rokok. Ia bertujuan menegah pengunjung serta pelawat merokok di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan tarikh 31 Mei setiap tahun sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Tahun ini Malaysia memilih tema ‘Jimatkan Wang! Berhenti Merokok! Selamatkan Nyawa!’ yang sesuai dengan keperluan mengurangkan perbelanjaan membeli rokok.

Advertisement