KUCHING: Reka bentuk perkhidmatan akan membawa faedah kepada transformasi ekonomi yang seterusnya dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri maju, produktif dan dinamik.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, pertumbuhan ekonomi dalam beberapa tahun akan datang akan berbeza apabila Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan kelak kerana tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber asli.
“Kini Sarawak masih bergantung kepada sumber asli seperti minyak, gas, kayu balak dan kelapa sawit bagi membangunkan negeri tetapi semua ini akan berubah kelak dengan momentum pertumbuhan dihasilkan SCORE, di mana reka bentuk perkhidmatan akan memberi manfaat kepada transformasi ekonomi seterusnya dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri maju, produktif dan dinamik.
“Sarawak perlu menghasilkan sesuatu yang istimewa menerusi reka bentuk perkhidmatan yang akan menjadi produk khusus kita (niche),” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Inovasi Reka Ke-4 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Damai Puri di Santubong dekat sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Hatta Solhi dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Dalam usaha meningkatkan interaksi di antara penyedia perkhidmatan dan pelanggan katanya, reka bentuk perkhidmatan menumpukan perhatian kepada fungsi dan bentuk perkhidmatan daripada perspektif pelanggan.
Beliau turut melahirkan harapan agar persidangan yang bertemakan ‘Budaya dan Nilai Baharu’ itu dapat menjana kefahaman lebih mendalam di kalangan pemaju produk dan penyedia perkhidmatan mengenai kepentingan mereka bentuk perkhidmatan pelanggan yang berkesan melalui rangka kerja proses, metodologi dan produk.
Persidangan selama tiga hari itu merupakan tapak kepada pelbagai perbincangan melibatkan produktiviti perkhidmatan, pembinaan masyarakat mapan melalui penambahbaikan perkhidmatan dan pemulihan serantau melalui reka bentuk perkhidmatan.