Anda di sini

Masih ramai peniaga belum daftar GST

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Meskipun tarikh pelaksanaan GST pada April tahun depan kian hampir: Ketua Kastam

LIMBANG: Masih ramai peruncit, pengilang,pemilik premis perniagaan dan syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di daerah ini yang belum mendaftar perniagaan mereka meskipun tarikh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun de-pan semakin singkat.

Ketua Jabatan Kastam Stesen Limbang Kaddy Jukin berkata pada masa ini hanya 65 syarikat yang sudah berdaftar sejak GST diperkenalkan kerajaan.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut masih sedikit berbanding sasaran yang hendak dicapai pihaknya sebanyak 150 syarikat berdaftar di daerah ini sebelum April tahun depan.

“Kami akan mempergiatkan sesi penerangan kepada kumpulan sasar bagi memastikan lebih ramai peniaga dan syarikat perni-agaan di Limbang dan Lawas mendaftarkan perniagaan mereka sebelum GST dilaksanakan dalam tempoh enam bulan ini,”katanya pada taklimat GST di Pejabat Kastam Limbang semalam.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Ketua Stesen RTM Limbang Tabad Sakai, Pegawai Penerangan Daerah Linda Padan dan ketua jabatan kerajaan lain.

Kaddy berkata lagi hampir 10 program penerangan dan taklimat berkaitan GST sudah dilaksanakan kepada lebih 750 kumpulan sasar di Limbang dalam tempoh Januari hingga September ini.

Jelasnya program itu juga dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan lain termasuk Majlis Daerah Limbang (MDL), Jabatan Penerangan, RTM, Kementerian Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), serta pem-impin tempatan.

“Kita juga menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 2,000 kumpulan sasar untuk menyer-tai program penerangan GST pada masa depan di bahagian ini.

“Ini penting untuk menyampaikan dan menerangkan mengenai GST kerana masih ramai penduduk dan orang awam yang keliru dan mempunyai per-sepsi negatif mengenai GST,”ujarnya.

Dalam pada itu Kaddy menjelaskan bahawa Kastam juga akan mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai ejen penerangan mengenai GST seperti yang dilakukan pada program penerangan sebelum ini.

Jelasnya ketua kampung ini boleh bertindak sebagai wakil atau ejen yang memberi penerangan mengenai GST kepada anak-anak buahnya khususnya di kawasan dan kampung yang terletak di pedalaman.

Pemahaman mengenai GST menurutnya, amat penting agar pelaksanaannya difahami seperti yang disasarkan kerajaan.

Sebelum ini kerajaan begitu komited untuk melaksanakan GST yang membabitkan kira-kira 600,000 syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

GST akan dikenakan kepada perniagaan yang mencapai nilai jualan tahunan bercukai RM500,000 dan ke atas.

Bagi perniagaan yang nilai jualan tahunan bercukai kurang daripada RM500,000 pula, tidak perlu mendaftar di bawah GST, tetapi peniaga digalakkan mendaftar secara sukarela.

Sementara itu Hasbi mahu Kastam menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memperhebat program penerangan kepada kumpulan sasar di daerah ini.

Ditanya mengenai aduan yang diterima orang ramai berhubung caj tambahan yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan barangan meskipun GST be-lum dilaksanakan Hasbi mahu pemantauan berterusan dijalankan pihak KPDNKK serta agensi kerajaan berkaitan.

Selain itu katanya pengguna juga perlu memainkan peranan dengan bijak dan tahu hak mereka dengan membuat pilihan terbaik sebelum melakukan pembelian.

Advertisement