Anda di sini

Lorong khas tanpa pemeriksaan pasport perlu dibuka di LTM

Advertisement

MIRI: Kemudahan Lapangan Terbang Miri (LTM) perlu dinaik taraf termasuk menyedia lorong khas bagi penduduk Sarawak yang tidak memerlukan pemeriksaan pasport.

Pesuruhjaya II PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata penyediaan lorong itu perlu bagi melicinkan pergerakan penumpang domestik terutama dari Kuala Lumpur.

“Penyediaan lorong khas untuk warga tempatan ini amat wajar kerana penumpang Sarawak tidak perlu beratur panjang bersama penumpang lain dari luar Sarawak,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, lorong khas itu akan memudahkan pergerakan penumpang terutama yang mempunyai anak ramai dan warga tua.

“Penduduk tempatan tidak perlu bersesak bersama penumpang luar Sarawak semasa proses pemeriksaan imigresen sebaliknya mereka terus menuju ke lorong khas untuk pemeriksaan MyKad,” jelasnya.

PAS berharap kerajaan menaik taraf LTM menjadi lapangan terbang antarabangsa selaras dengan piawaian antarabangsa seperti yang disyor oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Peruntukan Bajet 2014 sepatutnya diguna sepenuhnya untuk menaik taraf LTM selaras status Miri sebagai bandar raya peranginan antarabangsa di utara Sarawak,” katanya.

Advertisement