Anda di sini

Lelaki maut, kereta terbalik selepas dirempuh lori

Advertisement

SERIAN: Angkara kecuaian pengguna jalan raya lain, seorang lelaki terbunuh apabila keretanya terbalik setelah dirempuh dari belakang oleh sebuah lori di Jalan Simunjan-Serian semalam.

Menurut sumber, mangsa Chong Hee Jong, 27, semasa kejadian dipercayai dalam perjalanan ke arah pekan Serian apabila sebuah lori juga dari arah yang sama melanggar bahagian belakang kereta Proton Iswara mangsa.

Impak rempuhan tersebut menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di dalam parit dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 7 pagi itu.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan hanya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian beberapa minit selepas itu,” kata sumber.

Mangsa yang parah di kepala itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kejadian masih dijalankan.

Advertisement