Anda di sini

Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar rangka pelan strategik

Advertisement

KUCHING: Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar telah merangka perancangan strategik bagi tempoh 2015 hingga 2020 untuk menambah baik prestasi serta penyampaian perkhidmatannya kepada rakyat.

Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perancangan strategik tersebut secara umumnya merangkumi misi, visi dan objektif dalam meneraju pengurusan sumber alam di negeri ini.

“Penyediaan perancangan strategik ini adalah mengenai bagaimana untuk kami memperkukuhkan dari segi dasar penggunaan tanah, perancangan bandar dan kualiti alam sekitar.

“Ia juga untuk kami memperkuatkan organisasi dan memastikan keperluan bagi pembangunan kapasiti di kalangan kakitangan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penutupan Rasmi Bengkel Perancangan Strategik 2014 Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar 2014 di Pusat Peranginan Puncak Borneo, dekat sini semalam.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman, Penasihat Keselamatan Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Wan Alwi dan Penasihat Majlis Perancangan Negeri Datu Abang Kassim Zawawi.

Misi yang ditetapkan ialah berusaha memastikan sumber semula jadi yang mapan dan persekitaran binaan yang dirancang dengan baik untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan Sarawak menjadi negeri maju di Malaysia.

Visi kementerian pula adalah menjadi sebuah organisasi kelas dunia dalam menerajui pengurusan sumber semula jadi yang mapan dan persekitaran binaan yang dirancang dengan baik menjelang 2020.

Manakala tujuh objektif turut ditetapkan iaitu mengoptimumkan penggunaan dan pemeliharaan sumber hutan untuk kepentingan sosioekonomi selaras dengan keperluan dan dasar penggunaan tanah, meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam pengurusan sumber tanah, sumber batuan dan mineral serta memperkemaskan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan dasar berkaitan sumber asli.

Selain itu ialah memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara terancang, holistik dan memenuhi keperluan dan piawai yang ditetapkan, memastikan kualiti alam sekitar mencapai tahap piawaian yang ditetapkan, meningkatkan kecekapan dan kualiti sistem penyampaian bagi memenuhi kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan serta membina organisasi yang mantap selaras dengan piawai yang ditetapkan atau diiktiraf oleh pihak yang berkaitan.

Pada masa sama, Awang Tengah berkata kementerian juga akan merangka pelan tindakan untuk memastikan matlamat perancangan strategik tersebut dapat dilaksanakan dengan terancang.

“Sememangnya, ini adalah perancangan jangka panjang dan juga merupakan perancangan yang umum tetapi kami harus mempunyai pelan tindakan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata perancangan strategik tersebut juga adalah sejajar dengan fungsi serta peranan kementerian yang berkembang dan luas.

“Kementerian telah berkembang dari segi fungsi di mana dahulu ia cuma untuk perancangan sumber tetapi sekarang ia meliputi alam sekitar serta banyak aspek lain.

Advertisement