Anda di sini

Jabatan Perikanan T’ganu lepaskan 182,305 benih ikan air tawar

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Terengganu telah melepaskan 182,305 benih ikan di sungai-sungai terpilih di empat daerah sepanjang tahun ini untuk mengekalkan populasi ikan air tawar di negeri itu.

Pengarahnya Abdul Khalil Abdul Karim berkata antara tempat pelepasan ikan itu ialah di Sungai Jengai dan Sungai Loh dekat Kampung Pasir Raja di Dungun, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payong di Setiu, Sungai Berang di Hulu Terengganu, Sungai Air Putih di Kemaman dan di Tasik Kenyir.

“Antara ikan yang dilepaskan ini ialah lampam, kelah, baung, kerai dan gelama dan sungai yang dipilih sebagai lokasi pelepasan benih ikan itu tidak begitu tercemar.

“Ia bagi memastikan potensi untuk kelangsungan benih ikan ini hidup di habitat asal mereka dan hampir 80 hingga 90 peratus dari benih ikan ini akan membesar dengan sempurna di persekitaran sungai Terengganu,” katanya kepada Bernama semalam.

Selain mengekalkan populasi ikan air tawar, program pelepasan benih ikan itu juga bertujuan menjana pendapatan penduduk kampung di mana mereka boleh menjadikan sungai itu sebagai pusat santuari yang berjaya menarik kedatangan pelancong.

Setakat ini katanya Sungai Pelong dekat Setiu telah menunjukkan perkembangan positif di mana pengunjung boleh memberi makan kepada ikan yang sangat jinak di sungai itu.

“Projek di Sungai Pelong itu bermula pada 2012 dan hasil kerjasama rapat penduduk kampung dengan jabatan, kita berjaya menjadikan sungai itu sebagai tarikan pelancong dan berharap lebih banyak lokasi lain boleh dijadikan pusat santuari di Terengganu.

Jabatan Perikanan dengan kerjasama penduduk Kampung Air Putih, Kemaman telah mengadakan kajian inventori spesies ikan yang terdapat di sungai itu pada Ogos lalu dan berharap ia mampu menjadi lokasi santuari yang berjaya di daerah itu,” katanya. — Bernama

Advertisement