Anda di sini

Geran RM3 juta sejarah kepada pendidikan Cina

Advertisement

KUCHING: Pengumuman geran sebanyak RM3 juta daripada kerajaan negeri kepada Sekolah Persendirian Cina di Sarawak dianggap merupakan sejarah kepada pendidikan Cina di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Sekolah-Sekolah Persendirian Cina Sarawak Temenggung Vincent Lau berkata, selepas beberapa tahun memohon geran berkenaan akhirnya pihak sekolah berkenaan mempunyai geran khas daripada kerajaan negeri.

“Saya amat gembira mengenai pengumuman ini dan ia adalah satu sejarah kepada kami dan ini merupakan yang pertama selepas bertahun (memohon) akhirnya mendapat geran khas daripada Ketua Menteri.

“Peruntukan (RM3 juta) bukan satu jumlah yang kecil tetapi pada kami ia jumlah yang besar. Kami yakin ia amat membantu semua sekolah persendirian Cina di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama Persatuan Pendidikan Cina di Sarawak di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua No.1 di sini, semalam.

Lau terdahulu dalam ucapannya berkata pada 16 April lepas, Persatuan Pendidikan Cina Sarawak telah mengadakan perjumpaan dengan Adenan bagi mengemukakan masalah yang dihadapi mereka, termasuk supaya mempertimbangkan geran kewangan kepada sekolah terbabit.

Katanya seperti yang sedia maklum, terdapat 60 buah sekolah persendirian Cina di seluruh negara sementara 14 buah adalah di Sarawak dan tidak dinafikan ia juga penting dalam menyediakan pendidikan kepada warganegara Malaysia.

“Sekolah persendirian Cina yang sedia ada adalah aset kepada negara dan merupakan satu kelebihan bagi membolehkan kita lebih berdaya saing dalam dunia yang penuh persaingan.

“Malahan sekolah-sekolah ini juga bukan sahaja penting kepada populasi Cina tetapi juga kaum Melayu, Iban, India dan sebagainya yang masing-masing belajar di sekolah menengah dan sekolah rendah Cina,” katanya.

Sementara itu Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh yang ditemui pemberita selepas majlis berkata, beliau amat menyambut baik pengumuman Ketua Menteri itu dan amat berterima kasih kerana mempertimbangkan permohonan sebelum ini.

“Persatuan telah merayu kepada Ketua Menteri supaya memperuntukkan geran khas kepada sekolah persendirian Cina di negeri ini.

“Hari ini (semalam) beliau telah bersetuju dan menyumbang RM3 juta sebagai permulaan, ini bermakna ia merupakan geran tahunan kepada sekolah berkaitan,” katanya.

Tambah Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat itu, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri berusaha membantu semua komuniti di negeri ini.

Advertisement