Anda di sini

Digugur atau dikekalkan?

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

FAS akan dapatkan keputusan doktor pakar tentukan masa depan Salibasic: Sudarsono

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat sama ada mahu mengekal atau menggugurkan penyerang import mereka Muamer Salibasic.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman menjelaskan pemain itu masih bergelut dengan kecederaan lamanya selepas kembali menjalani rawatan rapi dengan doktor pakar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cuma beliau belum dimaklumkan mengenai tahap kecederaan pemain itu untuk membolehkan persatuan mengambil tindakan selanjutnya.

“Kita akan mendapatkan keputusan terperinci rawatan rapi daripada doktor pakar yang merawat Muamer untuk mengetahui tahap kecederaan yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi semalam.

“Hanya selepas itu baharu kita mengambil keputusan sama ada mahu mengekal atau menggugurkan beliau daripada skuad.”

Sudarsono sebelum ini menegaskan Muamer akan digugurkan jika gagal pulih dalam tempoh terdekat.

Muamer menyertai Sarawak pada tahun lepas dan kontraknya tamat pada 2015.

Penyerang kelahiran Bosnia itu gagal menyumbang apa-apa gol pada musim ini selepas direhatkan hampir keseluruhan musim akibat kecederaan lutut kiri yang dialaminya semasa perlawanan menentang ATM pada Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Robert Alberts berkata pihaknya masih memantau perkembangan semasa Muamer.

Pada masa yang sama, beliau juga akan berbincang dengan FAS mengenai masa depan pemain itu.

Setakat ini, Sarawak telah mengugur dan melepaskan lapan pemain iaitu Sani Anuar Kamsani, Mafry Balang, Mohamad Rashid Aya Mohamed Aya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Chanturu Suppiah, Junior Eldstal, Lot Abu Hassan dan Hassan El Mohamed.

Advertisement