Anda di sini

Tiada vaksin, rawatan antiviral rawat denggi

Advertisement

Oleh Borhaniza Ali Basah

 

SIBU: Menurut pengamal perubatan moden, Dr Hu Chang Hock untuk merawat pesakit denggi kita haruslah melihat pada simptom dan meminum air pada kadar mencukupi adalah digalakkan.

“Kita akan memberikan paracetamol jika demam dan mengelak memberi aspirin kerana berisiko menyebabkan pendarahan.

“Tidak ada vaksin dan rawatan antiviral yang berkesan untuk merawat demam denggi,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, orang ramai ada bertanya apakah yang harus diberi kepada pesakit denggi jika daun betik sudah tidak digalakkan.

Katanya buah betik muda mengandungi getah dan boleh menyebabkan alahan pada sesetengah orang kerana ia mengandungi papain, enzim proteolitik.

“Buah mentah, biji dan daun hijau betik mengandungi carpaine,” jelasnya sambil menambah bahawa ‘carpaine’ diketahui mempunyai kesan langsung ke atas hati kita.

Justeru, Dr Hu yang memiliki Ijazah Sarjana Penyakit Berjangkit dan Perubatan Tropika berkata memberi vitamin tambahan termasuk vitamin C adalah penting untuk sistem kekebalan tubuh kerana mempunyai sifat antioksidan.

Vitamin C dipercayai (belum dapat dipastikan) amat berguna untuk mengelak daripada dijangkiti seperti demam selesema biasa.

Berdasarkan pengalamannya, vitamin ini dapat membantu namun masih tidak dipastikan sejauh mana dapat membantu dalam peningkatan platelet.

“Vitamin lain yang baik untuk badan ialah seperti vitamin B untuk metabolisme dan A untuk sistem imun dan kesihatan mata,” jelasnya.

Advertisement