Anda di sini

Suspek cuba bunuh ahli perniagaan terus ditahan

Advertisement

KE MUKA PENGADILAN: Keempat-empat tertuduh dibawa keluar mahkamah selepas pendengaran kes di Sibu, kelmarin.

SIBU: Empat suspek dibawa ke mahkamah majistret di sini kelmarin untuk menghadapi tuduhan tentatif bersama menculik seorang ahli perniagaan dengan tujuan membunuhnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada keempat-empat tertuduh. Pegawai pendakwa, Inspektor Badrul Iskandar berkata, laporan kimia dan forensik tentang kes terbabit masih belum dikemukakan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 November depan.

Semua tertuduh yang diwakili peguam bela Daren Ling diarah terus ditahan dan tidak boleh dijamin.

Lau Kiew Huat dari Jalan Kong Yit Khim, Ko Ing Hai dari Sungai Bidut, Clement Juan dari Matu dan seorang remaja dari Pasai Siong yang namanya tidak didedahkan disebabkan undang-undang tertentu turut disabitkan bersama seorang lagi suspek yang masih bebas dalam kes penculikan Ting Sii Teck dengan motif membunuhnya.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Jalan Kong Yit Khim, di sini kira-kira jam 12.10 pagi, 5 Oktober lalu.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan laporan kes, polis percaya ahli perniagaan (Ting Sii Teck) yang terselamat dalam serangan oleh beberapa lelaki adalah satu percubaan membunuh.

Kejadian itu dipercayai tercetus disebabkan perkara membaiki kereta.

Empat suspek dikatakan menghantar kereta kepada mangsa untuk dibaiki tetapi apabila tempoh membaikinya mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan mereka meminta bayaran balik.

Apabila permintaan suspek-suspek tidak dipenuhi mereka didakwa menyerang mangsa terbabit.

Pada sekitar tengah malam, suspek-suspek didakwa mengikat tangan dan menutup mata mangsa dengan sehelai kain.

Mereka membawanya ke satu kawasan terpencil di Jalan Kong Yit Khim (Jalan Dudong) untuk ‘menghapuskan’ mangsa.

Mereka kembali semula selepas 20 minit kemudian dan didakwa mencederakan kepala mangsa.

Salah seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah mansa tetapi tidak kena manakala seorang lagi lelaki membaling batu kepadanya dan bertindak memukul bahagian belakang badannya.

Mangsa terpaksa berpura-pura mati sehingga menyebabkan suspek meninggalkan tempat kejadian.

Selepas itu, mangsa meminta bantuan daripada penduduk di rumah panjang berhampiran.

Mangsa yang menerima 40 jahitan akibat kecederaan di kepalanya kemudian membuat laporan polis.

Berdasarkan laporannya, polis menangkap seorang lelaki di sebuah rumah di Jalan Aping (Jalan Kong Yit Khim).

Polis turut menahan tiga lelaki lain yang tinggal di kawasan berdekatan dan merampas lebih daripada 10 senjata api, beberapa bilah pisau dan empat motosikal.

Advertisement