Anda di sini

SPR kumpul maklumat Kajian Semula Persempadanan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan kerja pentadbiran bagi Kajian Semula Persempadanan di seluruh negara.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan semalam berkata kerja itu melibatkan pengumpulan maklumat pembangunan, pertambahan penduduk dan pertambahan bilangan pengundi semasa.

“(Langkah) seterusnya menyediakan draf laporan awal Kajian Semula Per-sempadanan sebelum syor persempadanan dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri,” katanya.

Abdul Ghani berkata Kajian Semula Persempadanan yang terakhir bagi Semenanjung dan Sabah adalah pada 2003 dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, tempoh lat (selang) lapan tahun sepa-tutnya berakhir pada 2011.

Dalam tahun yang sama (2013), tempoh lat lapan tahun bagi negeri Sarawak juga berakhir.

Katanya, pada pertengahan 2011, SPR memutuskan untuk memulakan kajian tersebut secara rasmi selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013.

“Justeru, SPR menetapkan untuk menjalankan urusan kajian semula secara serentak bagi negeri Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, laporan syor kajian semula yang dikemukakan akan dipamerkan selama sebulan di tempat-tempat terpilih, selepas SPR mewartakan notis persempadanan tersebut dan menyiarkannya di dalam sekurang-kurangnya sebuah akhbar tempatan.

“Tempoh bermulanya dua tahun Kajian Semula Persempadanan adalah dari tarikh pewartaan notis ini,” katanya.

Semasa ia dipamerkan, representasi bantahan boleh dibuat oleh pihak berkepen-tingan iaitu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau 100 orang atau lebih pemilih berdaftar yang nama mereka berada di dalam daftar pemilih semasa bahagian pilihan raya berkenaan, katanya.

“SPR akan mengadakan Siasatan Tempatan ke atas bantahan yang diterima dan jika terdapat sebarang pindaan ke atas syor kajian semula, maka syor itu akan dipamerkan buat kali kedua selama sebulan.

“Proses Siasatan Tempatan untuk kali kedua akan dilaksanakan jika masih terdapat representasi bantahan terhadap pindaan itu,” katanya. — Bernama

Advertisement