Anda di sini

Seramai 2,133 orang jadi ahli Skuad Muda 1JPJ

Advertisement

UTAMAKAN KESELAMATAN: Yusoff memakaikan topi keledar kepada seorang peserta SKSJ, Ajang Ramli, 80, di Sibu.

SIBU: Sehingga 8 Oktober lalu, seramai 2,133 orang menjadi ahli Skuad Muda 1Jabatan Pengangkutan Jalan (SM1JPJ) sejak skuad itu dilancarkan pada 31 Ogos lalu.

Timbalan Pengarahnya Datuk Yusoff Ayob berkata sehingga kini seramai 36,963 orang menyertai SM1JPJ, skuad hasil cetusan idea Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Dengan penetapan objektif dan sasaran jelas dan koordinasi pelaksanaan secara menyeluruh, JPJ yakin dapat menambah keanggotaan ahli SM1JPJ di seluruh negara seperti ditetapkan,” katanya pada Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Stadium Bola Keranjang Bintangor di sini.

SM1JPJ bertemakan ‘Memperkasakan Semangat Sukarelawan’ dan keahliannya terbuka kepada mereka yang berumur 16 tahun ke atas.

Menurut Yusoff, SM1JPJ menyediakan satu pakej kepada rakyat Malaysia yang mempunyai hubungan dengan JPJ melibatkan diri dalam aktiviti berbentuk kesukarelaan bagi membantu kerajaan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Ia bertujuan menggerakkan rakyat berbilang kaum dan peringkat umur bersama-sama JPJ ke arah pembangunan negara dalam aspek keselamatan jalan raya,” jelasnya.

Antara kebaikan menjadi ahli SM1JPJ ialah bertindak sebagai ejen JPJ membawa mesej keselamatan jalan raya kepada komuniti setempat selain menjadi sukarelawaan dalam penganjuran SKSJ di kawasan pedalaman atau luar bandar.

Selain itu, ahli-ahli SM1JPJ juga bertindak sebagai mata dan telinga kepada JPJ dalam memantau kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Skuad ini juga bertujuan memupuk kesedaran tentang pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya melalui semangat kesukarelaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jabatan itu sentiasa komited memberi perkhidmatan berkesan dan terbaik kepada orang ramai.

Katanya pelbagai langkah diambil dalam meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan agar pelanggan sentiasa berasa selesa berurusan dengan JPJ.

Advertisement