Anda di sini

Sarawak rantai tonggak Sabah

Advertisement

Oleh Harry Ilias

ROZAIMI

KUCHING: Tonggak tengah pasukan Sabah, Sabri Sahar antara pemain yang dilaporkan bersetuju menyertai Sarawak pada musim depan.

Menurut sumber, Sabri, 22, dikatakan telah menandatangani kontrak dengan pasukan NgapSayot baru-baru ini.

Berita perpindahan bekas pelatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan pemain SUKMA Sabah itu hangat diperkatakan dalam laman ‘twitter SabahRhinos’.

Sabri pernah membantu Sabah menggondol pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA 2012) di Pahang.

Beliau juga merupakan produk pencarian bakat ‘Adidas Super Soccer Star’ ketika berusia 16 tahun.

Sumber itu juga menyebut bahawa Sarawak bersetuju menyambar pemain sayap Perak, Partiban K Janasekaran, 25, untuk mengharungi cabaran musim depan.

Kemasukan Partiban akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan S Chanturu setelah pemain itu menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim baharu nanti.

Dalam pada itu, berita mengenai perpindahan penyerang skuad Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman ke Sarawak masih hangat diperkatakan meskipun laporan sebelum ini menyebut pemain itu masih terikat dengan Sabah hingga 2015.

Sumber laman web goal.com menyebut pemain itu dikatakan masih berminat untuk menyertai Sarawak kerana mahu bermain dalam saingan Liga Super.

Tambahan, pemain itu mempunyai pengalaman ketika menyertai Sarawak pada 2010.

Setakat ini, Sarawak masih mengekalkan 14 pemain bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2015.

Mereka ialah Mohd Fadzley Abdul Rahim, Muhammad Dzulfadli Awang Marajeh, Aidil Mohamad, Mazwandi Zakeria, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Ashri Chuchu, Mohd Hairol Mokhtar, Rames Lai, Ronny Harun, Joseph Kalang Tie, Mohd Shahrol Saperi, Muamer Salibasic, Ryan Alan Griffiths dan Gabor Gyepes.

Manakala dua pemain Piala Presiden, Shreen Tambi dan Florian Rison Laes turut diserapkan dalam skuad senior musim depan.

Skuad Sarawak akan kembali berlatih seperti biasa bermula dari 10 hingga 27 November depan dan akan menjalani kem latihan luar di Miri pada 29 November hingga 5 Disember.

Advertisement