Anda di sini

Perniagaan 20 tahun musnah

Advertisement

TERBAKAR: Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha memadam kebakaran tersebut.

KUCHING: “Cuti habis, rumah pun habis.” Demikian rintihan seorang pengusaha bengkel membaiki kusyen yang tidak lagi dapat menahan kesedihannya selepas mendapati rumahnya musnah dalam kebakaran semalam.

Difahamkan, Chai, 50-an, baharu pulang bercuti bersama isterinya dan mendapat tahu rumah mereka di Jalan Arang di sini terbakar sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar jam 9 pagi.

Berharap berita yang dikhabarkan kepada mereka tidak benar, pasangan tersebut bergegas pulang namun harapan itu berkecai apabila melihat sendiri rumah dua tingkat mereka musnah dijilat api.

“Saya dan isteri bercuti di Pulau Pinang sejak beberapa hari lepas dan memang pulang hari ini (semalam), tidak sangka pula perkara (kebakaran) sebegini yang menyambut kepulangan kami,” kata Chai.

Isteri serta anak-anaknya yang juga bergegas ke tempat kejadian dilihat tidak lagi dapat menahan perasaan sedih mereka dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga yang lain.

Anak Chai yang hanya dikenali sebagai Daren memberitahu semasa kejadian, tiada siapa berada di rumah.

“Tiada orang di rumah, adik-adik saya telah pergi ke tempat kerja mereka, lagipun bapa dan ibu belum lagi sampai dan setiba saya di sini (rumah), tiada apa lagi dapat diselamatkan kerana api sudah besar (marak),” katanya.

Menurut Daren lagi, mereka menjalankan perniagaan membaiki kusyen di rumah tersebut sejak 20 tahun lalu.

“Rumah ini juga dijadikan bengkel kami membaiki kusyen, sebab hendak sewa kedai sangat mahal dan sudah 20 tahun kami menjalankan perniagaan ini untuk menyara kehidupan kami,” katanya.

Selain rumah Chai, turut musnah dalam kebakaran tersebut ialah dua buah kereta milik keluarga malang berkenaan iaitu Toyota Nadia dan Honda Accord.

Menurut Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii, turut terjejas ialah dua buah rumah bersebelahan rumah Chai iaitu masing-masing terbakar 10 hingga 40 peratus.

“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres dua tingkat di mana rumah pertama telah terbakar sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan 10 hingga 40 peratus,” kata Tiong.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Advertisement