Anda di sini

Peragut tumpas jua

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson//

 

TENGOK PUAS-PUAS: Suspek dibawa ke Jalan Urat Mata untuk mengenal pasti tempat di mana dia telah melakukan jenayah.

Suspek paling dikehendaki dalam kes-kes ragut di Jalan Urat Mata dicekup

KUCHING: Penduduk di sekitar Jalan Urat Mata di sini boleh menarik nafas lega selepas polis berjaya menangkap suspek paling dikehendaki dipercayai aktif melakukan jenayah ragut di sekitar kawasan tersebut semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Malihah, Matang hasil risikan pasukan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang diketuai Inspektor Lee Chee Keat.

Suspek dikatakan berjaya dikenal pasti oleh seorang penduduk di situ yang juga mangsa ragutnya di mana suspek dipercayai meragut rantai emas yang dianggarkan bernilai RM18,000 pada 6 Oktober lalu.

Hasil semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan berkenaan turut memaparkan suspek bersama dua lagi rakannya memecut laju melarikan diri dari kawasan itu.

Ekoran insiden itu, penduduk di situ telah membuat poster ‘Orang dikehendaki’ dan menggantungkannya di sepanjang jalan raya perumahan berkenaan selain menyebarkannya melalui laman sosial.

Beberapa hari selepas insiden ragut itu, dilaporkan berlaku beberapa lagi kes malah seorang wartawan turut menjadi mangsa ragut di situ.

Pihak polis juga merampas sebuah motosikal dipercayai motosikal yang digunakan suspek untuk melakukan jenayahnya.

 

Advertisement