Anda di sini

Miss Malaysia bangga perubahan SK Sacred Heart

Advertisement

Oleh Nick Fletcher//

 

ALBUM: Dewi merakamkan kenangan bersama murid-murid SK Sacred Heart, Kampung Semeba.

KEBANGGAAN masyarakat Bidayuh, Miss Malaysia World 2014 Dewi Liana Seriestha kini bersedia menghadapi pertandingan ratu cantik antarabangsa ‘Miss World 2014’ yang akan diadakan di London dalam tahun ini.

“Sudah tentu, saya bersedia…sejak bertanding dalam Miss Malaysia 2014, saya sentiasa bersedia dari segi segalanya.

“Sekarang, saya cuma dalam proses persediaan untuk Miss World 2014 dan saya mempunyai masa kurang dari sebulan sebelum pergi ke London untuk bertanding,” katanya ketika ditemu bual, kelmarin.

Dewi yang berasal dari Kampung Tematu, dekat Kuching turut mendedahkan bahawa beliau menyasar mendapat 30 peratus undi daripada juri dalam pertandingan tersebut.

“Saya sekarang juga lebih kerap pergi ke gim untuk kekal cergas serta menghadiri kelas untuk meningkatkan pengetahuan, personaliti, pengucapan awam dan mempelajari lebih lanjut mengenai kecantikan,” katanya.

CERIA: Dewi bergambar bersama murid-murid ketika lawatan ke SK Sacred Heart, Kampung Semeba baru-baru ini.

Sementara itu, Dewi berbangga melihat perubahan ketara di SK Sacred Heart, Kampung Semeba sejak beliau meninggalkan sekolah rendahnya itu.

“Sudah hampir 15 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sini dan saya amat bangga melihat sekolah ini telah mengalami banyak perubahan.

“Malah, saya juga terharu melihat ada guru yang pernah mengajar saya dahulu masih kekal untuk mengajar anak-anak di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Dewi turut menyuarakan kegembiraan serta penghargaannya kepada pihak sekolah terbabit yang mengadakan majlis selamat datang untuk menyambut lawatannya di situ.

Selain menjadi Miss Malaysia World 2014, Dewi juga seorang yang berbakat dalam bidang nyanyian, menulis serta mencipta lagu selain menjadi model dan pelakon.

Advertisement