Anda di sini

Kesedaran tentang jaga alam sekitar meningkat

Advertisement

Oleh Jessica Jawing

SIMBOLIK: Ruslan menanam anak pokok bakau sebagai simbolik Program Eco Bako di Tanah Bencah Kuching, semalam sambil disaksikan Sulaiman (kanan) serta yang lain.

40 hektar daripada 50 hektar kawasan plot kesedaran awam untuk tanaman semula bakau telah ditanam

KUCHING: Kesedaran awam tentang menjaga alam sekitar termasuk menanam pokok bakau kini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan khasnya di Tapak Ramsar Taman Negara Tanah Bencah Kuching.

Menurut Pengurusnya Sulaiman Jamahari, sehingga kini dianggarkan 40 hektar daripada 50 hektar kawasan plot kesedaran awam untuk tanaman semula bakau telah ditanam dengan pokok berkenaan.

“Sehingga kini dianggarkan 40 hektar plot kesedaran awam untuk penanaman semula bakau telah dilaksanakan dan ini menunjukkan kesedaran yang amat tinggi daripada orang awam.

“Malahan pada bulan ini sahaja (Oktober) kami telah menerima empat program daripada pelbagai pihak di mana daripada program itu sebanyak 3,500 pokok bakau telah ditanam dan mereka datang sendiri ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Eco Bako anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Jabatan Hutan dan Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak bersama Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuching Utara di Taman Negara Tanah Bencah Kuching di sini, semalam.

Tambah beliau, kini aktiviti menanam pokok bakau di kawasan itu bukan sahaja terhad kepada program sekolah tetapi disertai pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi.

Katanya sebanyak 50 hektar kawasan berkenaan telah diperuntukan untuk aktiviti penanaman semula bakau dalam usaha meningkatkan kesedaran awam.

Sementara itu, Pengarah JAS Sarawak Ruslan Mohamad ketika ditemui pemberita berkata JAS komited untuk mengadakan pelbagai aktiviti alam sekitar dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk program menanam pokok bakau di kalangan pelajar sekolah.

Ruslan berkata, aktiviti sedemikian amat penting untuk dilaksanakan dengan melibatkan pelajar sekolah bagi mendidik mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Beliau berkata program berkenaan merupakan salah satu daripada aktiviti sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia (MSAM) untuk peringkat negeri.

“Kami mengadakan program ini untuk mendidik para pelajar di mana mereka turut terlibat menanam pokok bakau sebanyak 500 pokok.

“Seperti yang kita semua sedia maklum pokok bakau amat penting kerana ia mampu mencegah atau menghalang berlakunya tsunami dan kita mengadakan program ini bagi mewujudkan kesedaran kepada mereka yang terlibat tentangnya,” katanya.

Katanya selain aktiviti menanam pokok bakau berkenaan, JAS turut mengadakan pelbagai aktiviti termasuk perasmian MSAM 2014 Peringkat Negeri pada 23 Oktober ini.

“MSAM diadakan setiap tahun iaitu setiap 21 hingga 27 Oktober di negara ini apabila ia diisytiharkan selepas Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Langkawi yang menetapkan minggu berkenaan sebagai MSAM.

“Pada tahun ini MSAM disambut di Kedah pada 1 November untuk peringkat kebangsaan sementara peringkat negeri pada 23 Oktober ini,” katanya.

 

Advertisement