Anda di sini

Jangan pertikai ibadat orang Islam: MB Kelantan

Advertisement

KOTA BAHARU: Pihak yang cuba mempertikaikan ibadat orang Islam harus menghentikannya, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau menegaskan mereka sepatutnya menghormati aga-ma masing-masing.

“Ia hanya melibatkan orang Islam … kita tak kritik dan tak pernah kata apa-apa tentang amalan agama lain, jadi mereka harus hormat agama kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ulang Tahun Pentadbiran PAS Kelantan ke-24 di sini, semalam.

Turut hadir Mursyidul Am PAS yang juga bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebuah portal berita semalam melaporkan badan bukan kerajaan Lawyers for Liberty (LFL) menyifat-kan tindakan kerajaan Kelantan untuk mengenakan tindakan terhadap orang Islam yang gagal hadir tiga kali solat Jumaat berturut-turut, akan memberikan kesan serius.

Menurut LFL tindakan kerajaan PAS Kelantan itu adalah bertentangan dan melanggar perlembagaan negara iaitu Perkara 5 berkaitan kebebasan individu, Perkara 8 berhubung undang-undang sama rata, Perkara 9 berkaitan kebebasan bergerak dan Perkara 11 berkaitan kebebasan beragama.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana lelaki Islam di negeri ini yang didapati sengaja tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

Katanya mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 104, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya. — Bernama

 

Advertisement