Anda di sini

Deepavali dirai suram akibat tanah runtuh

Advertisement

RUNTUH: Keadaan tempat kejadian tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bukit Raya Bukit Beruntung semalam. — Gambar Bernama

BUKIT BERUNTUNG: Kedatangan Hari Deepa-vali hari ini tidak semeriah seperti lazimnya bagi seorang tukang cuci bergaji RM900 sebulan setelah persiapan menyambut ‘Pesta Cahaya’ hasil simpanan sejak sekian lama terpaksa ditinggalkan di kediamannya di Bukit Beruntung susulan tanah runtuh kelmarin.

Jothi Rengasamy, 45, berkata baju baharu, hidangan untuk tetamu serta kuih-muih terpaksa ditinggalkan di rumahnya di Apartment Teratai, Taman Bukit Raya disebabkan dia dan empat anaknya diarahkan berpindah sehelai sepinggang.

“Saya sudah berbelanja RM1,800 untuk membeli semua keperluan namun semuanya terpaksa ditinggalkan apabila arahan berpindah dikeluarkan semalam (kelmarin),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya Dua, di sini semalam.

Kata Jothi, anak-anaknya S. Balamurugan, 21, S. Ranjitha, 20, S. Sivaranjini, 19, dan S.Mathan Kumar, 17, kini terpaksa menyambut Deepavali di pusat pemindahan itu dan mereka juga tidak bercadang untuk melawat sanak saudara serta jiran yang turut merayakannya.

“Nampaknya saya yang akan diziarahi sanak saudara dan jiran-jiran di sini, apa yang menyedihkan ialah kuih-muih dan segala bahan mentah yang disimpan di dalam peti ais tidak dapat dimakan lagi kerana bekalan elektrik di kawasan itu sudah diputuskan,” katanya.

Sementara itu, Abraham Isacca, 44, berkata dia dan keluarganya terpaksa melupakan hasrat untuk bersembahyang di kuil berdekatan memandangkan segala keperluan menyambut Deepavali terpaksa ditinggalkan.

“Saya sudah ‘tawar hati’ untuk menyambutnya apabila memikirkan rumah yang dibeli dengan kos RM45,000 kini berada dalam keadaan yang tidak selamat,” kata-nya.

Menurutnya segala keperluan menyambut Deepavali terpaksa ditinggalkan kerana setiap anggota keluarga hanya dibenarkan membawa dokumen penting ke pusat pemindahan.

“Saya hanya membawa kad pengenalan, surat ber-anak serta dokumen rumah, setelah bekalan elektrik dipotong, saya dan penduduk lain tidak dibenarkan lagi memasuki kawasan tersebut,” katanya.

Kelmarin, kira-kira 500 penduduk Blok ‘K’ dan ‘L’ dipindahkan ke pusat pemindahan di tiga sekolah, di sini.

Penduduk 10 lagi blok tidak berpindah kerana kediaman mereka terletak jauh dari kawasan kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya sedang memantau keadaan di kawa-san itu.

“Pihak teknikal sedang berusaha untuk lihat beberapa tindakan yang perlu segera diambil,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak berada berdekatan dengan kawasan tanah runtuh terutama di blok terlibat. — Bernama

 

Advertisement