Anda di sini

Dadah: Penganggur dan teman wanita diberkas

Advertisement

MIRI: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Miri berjaya memberkas seorang penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta merampas sejumlah dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Tudan Fasa 2 di sini petang Ahad lalu.

Suspek berusia 33 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan dadah tersebut.

Katanya bertindak atas maklumat diterima sekitar jam 3.15 petang, pada 19 Oktober lalu sepasukan polis diketuai Inspektor Shahibul Najib Kamaruddin menyerbu sebuah rumah yang terletak di Tudan Fasa 2 di sini.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Polis yang melakukan pemeriksaan lanjut menjumpai dan merampas 10 peket plastik kecil lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 10.78 gram.

“Hasil ujian air kencing juga menunjukkan kesan positif dadah jenis methamphetamine. Berikutan itu, polis menangkap suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, suspek dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta disebat tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali jika sabit kesalahan.

Beliau memberitahu, dalam serbuan sama polis turut menangkap seorang wanita berusia lingkungan 20-an dipercayai teman wanita kepada suspek kerana disyaki terbabit sama dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Hasil ujian air kencing wanita terbabit menunjukkan kesan positif dadah jenis amphetamine.

Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Ahad lalu, diperintahkan supaya direman empat hari sehingga 24 Oktober ini.

Advertisement