MIRI: Ahli Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) diminta terus bergerak aktif menganjurkan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada pertubuhan.
Naib Presiden SABERKAS Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ahli-ahli khususnya di peringkat cawangan tidak perlu menjadikan kewangan sebagai halangan dalam menganjurkan aktiviti.
“Saya syorkan setiap cawangan SABERKAS mengadakan aktiviti masing-masing kerana kita tidak mahu semua aktiviti tertumpu di Kuching sahaja.
“Bagi cawangan yang mempunyai kekangan kewangan, saya nasihatkan agar setiap aktiviti berkenaan dirancang dengan baik dan exco SABERKAS Negeri boleh mempertimbang bantuan kewangan yang sewajarnya,” katanya pada Majlis Malam Mesra SABERKAS Cawangan Zon Utara di sini malam kelmarin.
Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Setiausaha Penganjur SABERKAS Negeri merangkap Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat dan Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis.
Abdul Karim menambah, selain itu ahli-ahli cawangan boleh mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat di kawasan atau cawangan masing-masing.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada ahli-ahli cawangan Miri, Bekenu dan Ba’Kelalan.