Anda di sini

Waspada melakukan aktiviti yang melibatkan api

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Ini termasuk bahaya litar pintas kerana kejadian sebegini berlaku tanpa disedari, kata Hussaini

LAWAS: Sejarah hitam Kampung Hujung dan Kampung Menangah Awat-Awat yang dilanda kebakaran disifatkan dan terburuk di Lawas sebelum ini, wajar dijadikan pengajaran agar masyarakat lebih berwaspada ketika melakukan aktiviti harian melibatkan api.

Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim berkata masyarakat Lawas perlu menginsafi tragedi hitam itu agar tidak berulang pada masa depan termasuk mengelak melakukan sambungan elektrik tanpa pengawasan mereka yang bertauliah.

Katanya pengetahuan dan persediaan menangani kejadian kecemasan termasuk kebakaran perlu dipelajari termasuk bahaya litar pintas kerana kejadian sebegini berlaku tanpa disedari.

“Penduduk di Lawas pernah digemparkan dengan kejadian bencana membabitkan kebakaran Kampung Hujung Awat-Awat pada tahun lalu dan Kampung Menangah Awat-Awat awal Ogos tahun ini.

“Kedua-dua kejadian itu memberi kesan mendalam terhadap mangsa-mangsa kebakaran kerana kehilangan harta benda, tempat tinggal, punca pencarian, kesukaran meneruskan kehidupan, trauma dan sebagainya,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Komuniti Teman Pili Bomba 2014 di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shadzat Merdzuki,  Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Mohd Shamlie Radaee, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Limbang Kurong Beki dan Kaunselor Awang Emran Awang Damit.

Hussaini berkata, keselamatan bencana melibatkan api adalah tanggungjawab semua individu khususnya ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak bermain api atau bermain dengan apa juga yang boleh menjadi sumber api.

“Bak kata pepatah api semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan, harus dihayati supaya kita sentiasa berhati-hati dengan penggunaan api bagi mengelak sesuatu malapetaka yang tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Katanya Program Komuniti Teman Pili Bomba 2014 merupakan usaha berterusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan dan pemantauan pili bomba.

Beliau berkata program yang merupakan sayap utama di bawah Program Pendidikan Awam itu satu usaha kerajaan merakyatkan perkhidmatan awam.

“Kerajaan, bukan hanya memberi perkhidmatan rutin di pejabat tetapi juga berjumpa dengan masyarakat bagi memahami lebih dekat kehendak mereka.

“Dengan adanya program ini usaha-usaha menyedarkan orang ramai tentang bahaya dan risiko kebakaran dapat diteruskan melalui pelbagai aktiviti bersesuaian,” ujarnya.

Beliau juga mahu agensi kerajaan mengadakan program kemasyarakatan dengan kerap turun berjumpa dengan komuniti setempat.

“Ini merupakan peluang dan langkah terbaik untuk kita merapatkan hubungan kerjasama dan persefahaman di kalangan kakitangan kerajaan,” katanya.

Advertisement