Anda di sini

Tiga ‘keldai dadah’ ditahan sepanjang Oktober di KLIA

Advertisement

SEPANG: Tiga individu dipercayai ‘keldai dadah’ ditahan Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana menyeludup dadah jenis Methampetamine berjumlah 6.96kg bernilai RM1.3 juta sepanjang Oktober ini.

BUKTI: Chik Omar (dua,k iri) bersama Penolong Kanan Pengarah Kastam I, Zahari Abdullah (kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang disembunyikan di dalam bagasi serta dua unit kartrij pencetak yang berjaya dirampas pada bulan ini, semasa mengadakan sidang media di Pejabat Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

Ketua Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata ketiga-tiga individu tersebut, dua wanita warga China serta seorang lelaki warga Nigeria berumur antara 26 hingga 34 tahun, ditahan dalam tiga tangkapan berasingan.

Terbaharu, kira-kira jam 1.50 pagi semalam, seorang wanita warga China ditahan di KLIA2 kerana membawa 2.3kg Methampetamine bernilai RM433,200 di dalam bagasinya.

Selain itu, seorang lagi wanita warga China yang membawa Methampetamine seberat 2.6kg bernilai RM494,000 ditahan pada Isnin lepas kira-kira jam 11.40 malam di KLIA2.

“Kedua-dua individu tersebut menaiki kapal terbang dari Hong Kong. Kita tidak menolak kemungkinan mereka daripada sindiket yang sama namun tidak mengenali antara satu sama lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Chik Omar berkata kes ketiga melibatkan seorang warga Nigeria ditahan di KLIA selepas kastam mengesan 2.08kg Methampetamine bernilai RM395,200 yang disorok di empat helai seluar jeans yang dijahit di bahagian paha dan diletakkan di dalam sebuah bagasi pada 5 Okt lepas pada jam 7 petang.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, Methampetamine seberat 500 gram bernilai RM95,000 yang disorok di dalam dua buah unit dakwat printer yang dihantar melalui bungkusan dari Lagos, Nigeria ke gudang Pos Malaysia KLIA pada 10 Okt lepas dirampas.

“Parcel tersebut tidak dituntut dan setelah disiasat didapati alamat yang tertera tidak wujud dan talian telefon penerima juga gagal dihubungi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata rampasan dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober di KLIA meningkat setiap tahun namun bilangan kes menurun, ini kerana trend sekarang dadah diseludup masuk dengan jumlah yang banyak.

Pada 2012 bilangan kes adalah 50 dan membabitkan 186kg bernilai RM31 juta, tahun 2013 (49 kes, 246.5kg bernilai RM33 juta) dan 2014 (24 kes, 336.6kg bernilai RM54 juta). — Bernama

Advertisement