Anda di sini

STING Bukit Aman rampas syabu bernilai RM4 juta di KLIA

Advertisement

SIDANG MEDIA: Noor Rashid (kiri) ketika sidang media mengenai rampasan dadah di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menemui lapan peket dadah jenis syabu seberat 37.3 kilogram dianggarkan bernilai RM4 juta yang cuba diseludup, di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata dadah itu tiba dari Addis Ababa pada kira-kira jam 7.15 malam melalui penerbangan komersial.

“Sepasukan anggota dengan bantuan unit anjing pengesan menemui peket berisi dadah itu yang dibungkus dengan plastik hitam dan diletakkan bersama bungkusan kekacang dalam satu kotak,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Pada 11 Okt lalu, polis menahan 11 anggota sindiket dadah antarabangsa termasuk dua ketuanya dan merampas syabu seberat 30.3kg dianggarkan bernilai RM3 juta.

Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Nigeria, seorang wanita warga Tanzania dan seorang wanita tempatan dari Sarawak. — Bernama

Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik Bukit Aman temui lapan peket dadah jenis syabu seberat 37.3kg di terminal kargo KLIA, kelmarin.

Advertisement