Anda di sini

SLTA perkasa sukan tenis

Advertisement

KUCHING: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) bukan hanya bertindak mempromosikan tenis peringkat antarabangsa tetapi turut memperkasa pelancongan sukan di negeri ini.

Presidennya, Datuk Patrick Liew berkata penganjuran pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa di negeri ini mampu menjana pendapatan.

“Kebanyakan jurulatih dan pemain-pemain merupakan pelawat berulang dan mereka turut melawat beberapa lokasi menarik di negeri ini.

“Ini jelas menunjukkan kita juga mempromosikan pelancongan sukan dan bukan sahaja tenis,” katanya di sini semalam.

Pada tahun ini, sebanyak sembilan kejohanan peringkat antarabangsa berjaya dikendalikan SLTA termasuk terbaru Kejohanan Tenis Junior ITF (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-24 (II).

Menurutnya, setiap kejohanan berlangsung dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada jurulatih dan pemain-pemain.

Untuk 2015, SLTA membida Kejohanan Tenis Junior ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-25 dan Kejohanan Tenis Junior ITF (Gred 3) Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-26 (II) selain Asian 14 and Under Series.

“Kita juga melobi untuk Kejohanan Tenis Junior Berpasukan Dunia, tetapi bukan Kelayakan Akhir untuk Piala Davis Junior dan Junior Fed Up kerana Australia akan menjadi tuan rumah,” katanya.

Patrick menjelaskan, persatuan tersebut juga mempertimbang menjadi hos ITF Men’s Future US$10,000 atau US$15,000 bergantung kepada dana.

Sementara itu, SLTA akan terus menumpukan kepada program latihan pembangunan junior untuk 2016 dan mengenal pasti pemain-pemain bagi menggantikan Mohd Assri Merzuki dan Areez Elyaas Deen Hesham.

Advertisement