Anda di sini

Sinaran Ratu Siska Raja Sungai Krian

Advertisement

SARATOK: Pasukan Sinaran Ratu Siska dari Kampung Sejijak, Kuching berjaya merebut gelaran Raja Sungai Krian 2014.

Gelaran tersebut dirangkul setelah mereka muncul juara kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki pada Pesta Air Sungai Krian 2014 yang berakhir petang kelmarin.

Melalui kejayaan itu, Sinaran Ratu Siska menggondol Piala Tan Sri William Mawan Ikom, sebuah trofi dan wang tunai RM2,100.

Kejayaan itu juga menyingkirkan PBB Seri Sarawak 2, perahu kepunyaan Muhammad Duri yang terpaksa akur di tempat kedua manakala PBB Seri Sarawak 2 kepunyaan Datuk Abdul Wahab Aziz menduduki tempat ketiga.

Pengurus pasukan Sinaran Ratu Siska, Ibrahim Poli melahirkan rasa gembira atas kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan sekali gus ditabalkan Raja Sungai Krian 2014.

“Kejayaan ini merupakan menjadi impian semua pasukan bersaing dalam acara lumba perahu terutamanya penyertaan kali pertama pasukannya ke Saratok tahun ini dan menerima cabaran begitu sengit daripada pasukan lain,” katanya.

Beliau turut gembira atas kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan manis dan mencipta sejarah tersendiri.

Paling manis pasukannya berjaya mencipta nama menyapu bersih semua kejuaraan yang dipertandingkan kecuali acara akhir bidar 10 lelaki.

“Inilah kejayaan paling bermakna bagi pasukan kami kerana berusaha memastikan kejayaan ini milik kami sehingga berjaya bergelar Raja Sungai Krian 2014,” ujarnya.

Kejayaan tersebut hasil kekuatan gabungan tiga buah kampung iaitu Kampung Sejijak, Sungai Maong dan Kampung Tebelu.

“Fokus pasukan kita selepas ini menyahut cabaran Regata Lundu dan Regata Lawas bakal berlangsung tidak lama lagi dan kami akan meneruskan latihan selepas ini bagi mempersiap kekuatan fizikal serta mental para pekayuh,” katanya.

Hadiah pemenang disampaikan Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Advertisement