Anda di sini

Seimbang kecemerlangan akademik dengan sukan

Advertisement

KUCHING: Kecemerlangan pelajar dalam akademik perlu diseimbangkan dengan aktiviti kokurikulum dan sukan dalam usaha mendedahkan pelajar dengan gaya hidup sihat.

Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng berkata demikian berikutan pemerhatian beliau terhadap kanak-kanak hari ini yang lebih suka menonton televisyen, melayari Internet di telefon bimbit atau bermain permainan komputer.

“Sekolah seharusnya memainkan peranan yang aktif dalam menjalankan lebih banyak aktiviti kokurikulum sebagai usaha untuk mendedahkan para pelajar dengan gaya hidup sihat.

“Saya berharap semua kita akan memainkan peranan masing-masing dalam mempromosikan sukan dan gaya hidup yang sihat dengan latihan dan panduan yang betul untuk menggalakkan gaya hidup aktif,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Atlet Antara Sekolah-Sekolah di Stadium Negeri semalam.

Tambahan juga, ibu bapa dan warga pendidik hanya menekankan kepentingan kecemerlangan akademik berbanding sukan sedangkan dengan penganjuran seperti ini ramai atlet berbakat di sekolah dapat dicungkil dan mereka boleh dihantar menyertai pasukan negeri untuk membantu menaikkan standard sukan Sarawak, tegasnya.

Yong berkata sukan merupakan aktiviti yang baik untuk kanak-kanak dan orang dewasa bagi memperkembangkan ketajaman mental, fizikal dan pembangunan emosi.

Sukan juga memberi pengalaman pembelajaran yang positif selain menambah kebolehan, keyakinan diri, semangat berpasukan, bersosial dan semangat bersukan yang baik.

Sebanyak 13 sekolah iaitu 10 SRJKC Chung Hua dari kawasan Batu Kawa bersama tiga sekolah jemputan menghadiri kejohanan tersebut yang bermula sejak 18 Oktober lalu.

Kejohanan itu merupakan antara aktiviti yang dianjurkan bersama oleh Kelab Rekreasi Batu Kawa.

Pemenang keseluruhan Kejohanan Atlet Antara Sekolah-Sekolah itu adalah SJK Chung Hua Sungai Tengah.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Advertisement