Anda di sini

Parti Rakyat Bersatu lancar ibu pejabat di Kuching

Oleh Jessica Jawing //

PERMULAAN BAHARU: Ahli-ahli UPP bersama para pemimpin merakam kenangan di bangunan ibu pejabat UPP yang dirasmikan baru-baru ini.

SIMBOLIK: (Dari kiri) Dr Rayong, Dr Jerip, Wong dan Ranum menyerahkan bendera parti kepada wakil cawangan UPP.

PARTI Rakyat Bersatu (UPP) baru-baru ini melancarkan ibu pejabat mereka di Kuching yang dihadiri lebih 1,000 ahli dari pelbagai cawangan parti itu.

Pelancaran berkenaan menandakan permulaan baharu dan tanggungjawab kepada parti, yang kini sudah mempunyai 26 cawangan di seluruh negeri.

Majlis pelancaran itu dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perintis UPP Dato Sri Wong Soon Koh, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah ahli jawatankuasa perintis lain iaitu Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina dan ADUN Engklili Dr Johnical Rayong Ngipa.

Wong dalam ucapannya berkata, parti akan berusaha gigih untuk menyediakan pemimpin yang berfikiran membina serta amat bermakna kepada rakyat.

Sementara itu Pengerusi Pengelola Desmond Cheng berkata, semenjak UPP dilancarkan pada 16 Ogos lepas, parti yang kini mempunyai 23 cawangan bakal menjadi 26 apabila tiga lagi akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

“Malahan penyertaan generasi muda turut menggalakkan jumlahnya, iaitu generasi yang tanpa mengira bangsa dan perbezaan agama,” katanya.

BERSATU: Pemimpin jawatankuasa perintis UPP melaungkan ‘bersatu’ bersama ahli-ahli yang hadir sempena majlis perasmian ibu pejabat UPP di Kuching, baru-baru ini.