Anda di sini

Najib yakin Jokowi bakal eratkan hubungan kedua negara berjiran

Advertisement

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yakin pentadbiran Indonesia yang kini dipimpin oleh Presiden baharu Joko Widodo bakal mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia-Indonesia.

Bekas Gabenor Jakarta itu yang lebih popular dengan panggilan Jokowi di kalangan rakyat Indonesia, memulakan tugas hari pertamanya semalam sebagai presiden ketujuh republik itu dalam satu istiadat di hadapan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi negara itu, bagi memimpin negara berpenduduk 250 juta orang.

Joko mengambil alih kepimpinan daripada Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang menjadi Presiden sejak tahun 2004.

“Saya mengucapkan selamat kepada Presiden Joko dan juga Wakil Presiden Jusuf Kalla,” kata Perdana Menteri kepada media Indonesia sejurus selepas menghadiri upacara pelantikan Jokowi di Dewan MPR.

Memetik laporan media online Detiknews.com, Najib juga dilaporkan berkata bahawa Jokowi dan Jusuf sangat memahami pentingnya hubungan Malaysia dengan Indonesia.

“Saya berharap akan bekerjasama dengan Presiden baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan bilateral Indonesia dan Malaysia.

“Kepada Bapak Jokowi, atas pelantikannya saya ucapkan selamat maju jaya,” kata Najib berdasarkan petikan laporan itu.

Yang turut mengangkat sumpah pelantikan jawatan di hadapan lebih 1,000 anggota MPR di sini ialah Jusuf Kalla sebagai Naib Presiden.

Terdahulu, Najib yang berada di sini atas jemputan peribadi daripada Jokowi, 53, bagi menghadiri majlis bersejarah Indonesia itu, dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan pada upacara yang berlangsung selama dua jam itu.

Perdana Menteri juga diberi keistimewaan oleh republik itu sebagai kalangan ketua kerajaan asing pertama tiba di Istana Merdeka, kediaman rasmi Presiden membuat kunjungan hormat dan merakamkan ucapan tahniah bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia kepada Jokowi yang baharu sahaja beberapa jam mengangkat sumpah sebagai Presiden.

Sempena lawatan rasmi ini, Perdana Menteri juga menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry yang turut berada di sini, sejurus selepas tamat upacara itu.

Antara ketua negara yang turut hadir bagi menyaksikan upacara mengangkat sumpah itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Australia Tony Abbott serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.

Jokowi dan gandingannya Jusuf memenangi pilihan raya Presiden apabila memperoleh 70,990,832 undi atau 53.15 peratus daripada sejumlah 133,567,276 undi.

Calon lawannya Prabowo Subianto dan gandingannya Hatta Rajasa, yang turut hadir pada upacara semalam, memperoleh 62,576,444 atau 46.85 peratus. — Bernama

Advertisement