Anda di sini

Mr Gym: Sarawak lima terbaik

Advertisement

SAINGAN SENGIT: Iskandar (dua kanan) bersama peserta lain menunjukkan aksi masing-masing.

KUCHING: Kejohanan Mr Gym 1Malaysia Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kuala Lumpur menyaksikan Sarawak berjaya menduduki lima terbaik dalam empat kategori.

Mereka terdiri Jeremiah Rukong, Mohd Iskandar Razali, Wilfred Harding dan Anthony Cadrick yang terpilih dalam senarai 25 terbaik pada pusingan kelayakan.

Kejohanan itu disertai 50 ahli-ahli bina badan yang mewakili pusat gym seluruh negara.

Timbalan Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA), Nolan Chee berkata ini merupakan pencapaian terbaik Sarawak.

“Sudah tentu kita mensasarkan emas, tetapi berada dalam senarai lima terbaik dalam setiap kategori menunjukkan kita adalah antara yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Dianjurkan sempena Karnival Kecergasan Kebangsaan, kejohanan bina badan itu merangkumi lima kategori iaitu novis, junior, senior 75kg ke atas, senior 65-75kg dan 65kg ke bawah.

Anthony berada pada kedudukan keempat dalam kategori novis di belakang Suhaimi Kassim dari Johor yang muncul juara diikuti Mohd Hanafiah Anuar (Kuala Lumpur) dan Muhammad Hakimi Abdullah (Labuan) masing-masing tempat kedua dan ketiga.

Iskandar dan Wilfred menduduki tempat ketiga masing-masing dalam kategori 65kg ke bawah dan 65-75kg.

Persaingan Jeremiah, Remy Rahim dari Negeri Sembilan dan Mohd Rashid Abu (Johor) dalam kategori 75kg ke atas agak sengit apabila pengadil terpaksa melakukan beberapa kali perbandingan.

Akhirnya, Remy diumumkan selaku juara diikuti Jeremiah dan Mohd Rashid.

Kategori junior menyaksikan Zulhusni Mohammad Ani dari Johor mengalahkan Wan Ahmad Mazapri Wan Mazuan (Pahang) dan Syahmi Samuri (Kelantan) untuk merangkul juara.

Hairul Izwan dari Johor seterusnya diumumkan sebagai pemenang ‘Champion of Champions’.

Advertisement