Anda di sini

KKWPK giat bukukan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang

Advertisement

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) giat menjalankan usaha mendokumentasikan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang dalam bentuk buku.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, untuk itu sebanyak empat buku berkaitan sumbangan wanita di negeri ini akan diterbitkan iaitu tiga buku pada tahun depan dan selebihnya pada 2016.

Beliau menjelaskan tiga buku itu, Wanita Sarawak Dalam Politik: ‘The Pioneers’ dan Wanita Sarawak Dalam Dunia Seni disasarkan akan diterbitkan September 2015 serta Wanita Sarawak Dalam Sukarelawan dijangka akan diterbitkan pada Disember 2015.

“Manakala satu lagi buku iaitu Wanita Wanita Sarawak Dalam Pembuat Keputusan: ‘Revisited’ pula dijangka akan diterbitkan pada Februari 2016.

“Malah, bagi buku Wanita Sarawak Dalam Dunia Seni akan dilancarkan pada sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri 2015 nanti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Buku Wanita Sarawak di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya semalam.

Fatimah memberitahu, tujuan mendokumentasikan buku tentang wanita bagi memastikan setiap sumbangan wanita dalam pelbagai bidang di negeri ini dapat menjadi rujukan.

Jelasnya lagi, setakat ini sebanyak empat buku telah diterbit dan dilancarkan kesemuanya berkaitan sumbangan dan peranan wanita dalam bidang politik, sukarelawan, perniagaan dan kejayaan perjalanan hidup wanita sebelum kemerdekaan.

“Justeru, kita akan menggandakan lagi usaha secara berterusan dalam memastikan setiap sumbangan wanita Sarawak dapat didokumentasikan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penyertaan di kalangan wanita di negeri ini dalam bersama-sama menjayakan penerbitan buku tersebut.

“Sesiapa sahaja yang mengenali seseorang wanita yang mempunyai kejayaan dan sumbangan dalam pelbagai bidang seperti sukarela boleh menghantarkan maklumat berkaitan individu tersebut kepada kami (KKWPK atau Biro Wanita) untuk dibukukan,” ujarnya.

Pada masa sama, Fatimah menjelaskan bahawa buku yang telah diterbitkan itu boleh didapati di pejabat KKWPK dan Biro Wanita yang dijual pada harga RM120 senaskhah.

Turut hadir Setiausaha Tetap KKWPK Rodziah Morshidi, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad dan ahli jawatankuasa Majlis Wanita.

Advertisement