Anda di sini

Jerayawara TERAS dapat sambutan luar dugaan

Advertisement

Oleh Clare Cinderella //

Ia memberi mesej jelas bahawa TERAS mempunyai sokongan padu di peringkat akar umbi

RASMI: Mawan (tengah) diapit oleh Entri (di sebelah kanan beliau) dan Nansian, semasa merasmikan Stesen Mini Unit Sukarelawan Bomba, yang diadakan sebelum jerayawara dan dialog TERAS di Rumah Berauh, Sungai Entulang di Bakong.

BELURU: Sambutan yang amat menggalakkan ditunjukkan semasa jerayawara Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) di Marudi petang Sabtu lalu, memberi mesej yang jelas bahawa parti baharu itu mempunyai sokongan padu di peringkat akar umbi.

Para pemimpin parti itu berkata, mereka kini dalam semangat yang berkobar-kobar untuk mengukuhkan kedudukan parti dan pada masa sama membawa sema-ngat tersebut kepada para ahli dan penyokong parti ber-kenaan di peringkat akar umbi untuk dizahirkan bersama.

Justeru jerayawara bagi tujuan itu, telah dan akan diadakan di kawasan-kawasan yang pernah diwakili pemim-pin mereka (semasa masih bersama SPDP) seperti Tasik Biru, Bekenu, Marudi, Batu Danau, Lawas, Krian, Julau dan Pakan.

Malah Presiden TERAS Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pemimpin parti itu akan menyahut permintaan rakyat yang mahu beliau dan pemimpin TERAS yang lain, melawat kawasan mereka bagi mendengar masalah, keperlu-an dan aspirasi mereka yang sebelum ini diwakili oleh SPDP.

“Jika anda menulis kepada kami (pemimpin TERAS) dan menjemput kami untuk datang, maka kami akan datang untuk mendengar keperluan dan permintaan anda kerana kami dapat membantu anda berdasarkan kapasiti kami dalam kabinet dan bukannya seperti mereka yang berada di luar sana, hanya menyalak dan asyik menuduh kami bukan (parti komponen) dalam Barisan Nasional (BN),” jelas beliau.

Menurut Mawan, barisan TERAS adalah terdiri daripada barisan pemimpin, termasuk beliau sendiri sebagai salah seorang menteri kanan dan Menteri Pembangunan Sosial dan juga presiden parti, Timbalan Presiden Datuk Peter Nansian Ngusie yang merupakan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Perladangan) merangkap Menteri Muda Pembangunan Masyarakat; Setiausaha Agung Datuk Sylvester Entri Muran yang merupakan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang); Naib Presiden Kanan Rosey Yunus yang merupakan Menteri Muda Pembangunan Keluarga dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak; Bendahari Kehormat Paulus Paulu Gumbang yang merupakan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri dan ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy Berhad (SEB) serta para setiausaha politik dan sebagainya.

Malah menurut Mawan, jerayawara TERAS di Rumah Berauh Barau di Sungai Entulang, Bakong dalam konstituensi Marudi pada malam Sabtu lalu, turut dihadiri rata-rata ahli-ahli parti yang meninggalkan SPDP untuk menyertai TERAS.

Hampir 6,000 orang datang dan membanjiri jerayawara tersebut yang berlangsung di rumah panjang 107 pintu dan terdiri daripada tiga blok, iaitu sambutan di luar dugaan dan mengejutkan pihak peng-anjur, apatah lagi jumlahnya jauh mengatasi jangkaan awal mereka.

Malah jumlah kedatangan yang tinggi itu menurut Mawan, adalah sokongan jitu kepada TERAS sekali gus menunjukkan hasrat mereka yang mahu Setiausaha Agung TERAS Datuk Sylvester Entri terus kekal sebagai calon BN di kerusi Marudi pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Kami lahir dalam BN dan tidak akan sekali-kali melangkah keluar dari BN,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu juga, Mawan menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan propaganda sesetengah pihak dan memberitahu bahawa pemimpin tertinggi BN bukannya bodoh untuk tidak mempedulikan hakikat sebenar di peringkat akar umbi dan tidak akan menukar calon boleh menang seperti Datuk Sylvester (Entri) di Marudi.

“Kita baharu sahaja bermula dan perlu fokus terhadap tanggungjawab yang menanti di hadapan, untuk bersedia menjadi sebuah parti yang kuat dalam BN,” ujar Mawan lagi.

Advertisement