Anda di sini

Cobra ‘raja’ Ragbi Song Thian Cheok Memorial

Advertisement

KUCHING: Kejohanan Ragbi Song Thian Cheok Memorial menyaksikan pasukan Cobra muncul juara selepas mengalahkan Blackhawks 27-16 dalam perlawanan akhir di Padang Ragbi Song Kheng Hai di sini kelmarin.

Pengurus pasukan, Nazarudin Borhan gembira dengan pencapaian anak-anak buahnya biarpun membuat persiapan pada saat akhir untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Ini merupakan kunjungan kami yang menggembirakan apabila berjaya melakar kemenangan.

“Pemain-pemain kami bermain mengikut arahan dan menampilkan semangat kerja berpasukan dan melawan tinggi,” katanya.

Ini merupakan kunjungan kedua Cobra ke Kuching selepas bermain perlawanan persahabatan menentang KRFC pada 2009.

Pasukan dari Petaling Jaya, Kuala Lumpur itu menggabungkan pemain-pemain muda dan berpengalaman menghadapi cabaran di luar Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Presiden KRFC Azlan Borhan menjelaskan standard permainan pada kejohanan itu semakin meningkat dengan penglibatan lebih ramai pemain berkualiti.

“Saya amat terkejut dengan persembahan pasukan terutama Mukah yang berjaya merangkul Bowl. Saya berterima kasih kepada semua pasukan terutama Cobra dan pasukan luar lain yang terlibat,” jelasnya.

Plate dimenangi Bintulu Rugby Club yang mengalahkan UiTM A 29-12 dalam perlawanan akhir manakala Mukah memenangi Bowl selepas mengalahkan KRFC Goldcatzs 24-14.

Selepas ini, KRFC akan menganjurkan Louis Cup pada 27 Disember.

Advertisement