Anda di sini

Cadangan tukar nama RKK sebagai hargai jasa Toh Puan Norkiah

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

SELAMAT HARI LAHIR: Norkiah menerima kejutan daripada Fatimah dan tetamu yang hadir sempena hari lahirnya semasa Majlis Penghargaan Mantan Penaung Institusi-Institusi Kebajikan JKM di Rumah Kanak-Kanak Kuching, kelmarin.

RUMAH Kebajikan Kanak-Kanak Kuching akan bertukar nama kepada Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah sekiranya disahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM).

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata cadangan penukaran nama itu adalah sebagai mengenang dan menghargai jasa Norkiah yang telah banyak mengabdikan sumbangan serta jasa bakti kepada warga Institusi Kebajikan JKM di negeri ini.

“Tiada kata yang berupaya mengungkapkan sepenuh dan selengkapnya nilai budi dan jasa Toh Puan kepada kita.

“Itu sebabnya kita (kementerian) bersama Ahli Lembaga Pelawat JKM mencadangkan nama tersebut ditukarkan kepada Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

“Ini juga telah dipersetujui oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa beliau masih menjadi Ketua Menteri dan sekarang kita masih menunggu pengesahan daripada KPWM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan Mantan Penaung Institusi-Institusi Kebajikan JKM di Rumah Kanak-Kanak Kuching di Kuching kelmarin.

Fatimah menjelaskan, sekiranya menjadi realiti maka akan terpahatlah lipatan sejarah diingati zaman berzaman jasa bakti beliau yang bukan hanya kepada peningkatan kualiti aspek fizikal Institusi Kebajikan JKM bahkan memberi keceriaan, keseronokan dan kegembiraan kepada kanak-kanak serta warga emas.

Sementara itu, dalam ucapan balasnya, Norkiah melahirkan rasa terharu dan gembira serta berharap perjuangannya untuk membela golongan kurang bernasib baik dapat diteruskan oleh masyarakat di negeri ini.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar sentiasalah mendekatkan diri dengan institusi kebajikan tidak kira tua mahupun muda kerana ia sungguh besar maknanya kepada penghuni institusi terbabit,” jelasnya.

Bercerita mengenai penglibatan Norkiah sebagai Penaung Institusi Kebajikan JKM negeri, beliau pada mulanya dilantik sebagai Penaung Rumah Kanak-Kanak (RKK) Kuching pada 13 April 2012 sehingga 12 April 2014.

JASAMU DIKENANG: Fatimah dibantu Shamsudin menyerahkan trofi kristal kepada Norkiah.

Memandangkan kedudukannya sebagai isteri TYT pada masa itu serta minat mendalam dalam hal kebajikan golongan yang berkeperluan khas, maka beliau turut dilantik sebagai penaung kepada institusi lain seperti RKK Datuk Ajibah Abol Sri Aman, Rumah Sri Kenangan (RSK) Kuching dan Sibu, Pusat Pemulihan Samarahan, Sekolah Tunas Bakti (STB) Kuching dan Miri serta Taman Seri Puteri (TSP) Kuching.

“Apabila pihak kita mewujudkan konsep ‘Ini Rumah Saya’ untuk semua Institusi Kebajikan JKM, Toh Puan dengan kreativiti dan kesungguhan tinggi menggunakan jalinan dan jaringan agensi kerajaan, swasta dan ahli korporat bagi menambah baik keadaan fizikal, dalaman dan luaran institusi yang ada di antaranya dalam keadaan uzur.

“Dengan visi jauh beliau juga telah menambah nilai kepada program kemahiran yang boleh menjana pendapatan di institusi JKM seperti RSK Kuching dan TSP Kuching,” tambah Fatimah.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian cenderamata penghargaan berupa trofi kristal dan sijil kepada Norkiah dan persembahan daripada Institusi Kebajikan JKM Negeri Sarawak.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi, Pengarah JKM Negeri Abg Shamsudin Abg Seruji dan Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad.

Advertisement