Anda di sini

Buruh cedera, dua kumpulan bergaduh

Advertisement

MIRI: Seorang buruh binaan warga Indonesia cedera di kepala dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan terdiri daripada lebih 10 pekerja dalam kejadian yang berlaku di sebuah tapak pembinaan di sini pagi semalam.

Pergaduhan dikatakan berpunca daripada sebatang kayu yang tiba-tiba jatuh dari tingkat atas dan hampir terkena seorang pekerja yang berada di bawah.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi itu, sebatang kayu tiba-tiba jatuh dari tingkat atas dan hampir menimpa seorang pekerja lain yang sedang bekerja di bawah.

Melihat keadaan itu, pekerja di tingkat bawah terbabit lalu menegur rakan sekerja di tingkat atas sambil menuduhnya sengaja menjatuhkan kayu tersebut supaya mengenanya.

Pekerja di tingkat atas yang berasa tidak puas hati dengan teguran itu, membawa bersama beberapa rakan turun ke bawah untuk bersemuka dengan rakan yang menegurnya.

Menurut beberapa saksi, mangsa (pekerja di bawah) cuba melarikan diri setelah dikejar sekumpulan lelaki yang ditegurnya.

“Setelah berlari beberapa meter dari tapak bangunan tempat mereka bekerja, mangsa terjatuh.

“Beberapa penyerang dilihat menendang dan memukulnya sebelum sekumpulan pekerja lain datang membantu mangsa.

“Berikutan itu, tercetus pergelutan di antara dua kumpulan terbabit iaitu kumpulan yang menegur dan ditegur sehingga menyebabkan seorang daripada kumpulan yang ditegur cedera di kepala,” kata saksi terbabit.

Melihat keadaan itu, beberapa pekerja di tapak sama segera memaklumkan kejadian itu kepada majikan yang kemudian menghubungi polis.

Sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

Sehubungan itu, seramai lapan pekerja di tapak pembinaan terbabit yang semuanya warga Indonesia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut.

Polis turut merampas tiga bilah parang di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas semua suspek.

Katanya kes disiasat mengikut peruntukan Seksyen 148 Kanun keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Advertisement