Anda di sini

Seorang daripada 100 hidap skizofrenia

Advertisement

Situasi ini membimbangkan kerana pesakit boleh mencederakan diri sendiri, orang lain

KEPALA BATAS: Setiap seorang daripada 100 rakyat Malaysia dikesan menghidap skizofrenia iaitu penyakit mental, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata situasi itu membimbangkan kerana pesakit skizofrenia boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan orang lain.

“Semakin ramai rakyat Malaysia menghidap skizofrenia kerana pesakit dan masyarakat sekeliling tidak memandang serius masalah berkenaan selain enggan mendapatkan rawatan.

“Masalah kesihatan mental terutama penghidap skizofrenia tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak dirawat, mereka boleh bertindak mencederakan orang lain, ini sangat berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem I Want Sihat (KIS) sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2014 di sini, semalam.

Skizofrenia ialah sejenis penyakit mental di mana pesakit mengalami gangguan perasaan, pemikiran, emosi dan tingkah laku yang menyebabkan mereka seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri.

Dr Hilmi berkata masyarakat juga perlu membuang stigma bahawa pesakit mental tidak boleh diubati atau diberi perhatian yang sewajarnya.

Katanya, masalah berkaitan kesihatan dan penyakit mental perlu dibincang secara terbuka agar stigma terhadap isu itu dapat dikurangkan dan pesakit berkenaan tidak berasa malu untuk mendapatkan rawatan.

“Masyarakat terutama keluarga sepatutnya tidak menjauhkan diri daripada mereka sebaliknya terus memberi sokongan dan saya percaya sekiranya rawatan awal diberi, penyakit itu dapat dikawal dan pesakit akan pulih,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk menambah jumlah pakar psikiatri daripada 300 kepada 900 orang dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi memastikan ia dapat menampung keperluan rakyat Malaysia.

Bagi merealisasikan sasaran itu, beliau berkata setiap tahun Kementerian Kesihatan menawarkan biasiswa kepada 50 doktor untuk menjadi pakar psikiatri.

“Pada masa ini, nisbahnya adalah seorang pakar psikiatri untuk 150,000 rakyat. Kita sepatutnya mempunyai nisbah pakar ini mengikut piawaian antarabangsa iaitu seorang pakar bagi 50,000 penduduk,” katanya.

Dr Hilmi berkata jumlah mereka yang menghidap sakit mental di negara ini dijangka bertambah setiap tahun berdasarkan faktor tekanan hidup, pekerjaan, ekonomi dan rumah tangga.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2006 mendapati mereka yang mengalami masalah mental adalah 11.2 peratus bagi dewasa dan 20.3 peratus untuk kanak-kanak dan remaja.

“Pada 1996, kita mencatat 10.3 peratus (dewasa) dan 13 peratus (kanak-kanak dan remaja),” katanya. — Bernama

Advertisement