Anda di sini

Semai semangat patriotik, jati diri seawal peringkat sekolah rendah

Advertisement

Oleh Rosemaria Buma //

TERUJA: Murid-murid yang menyertai PLPAB kelihatan teruja melihat pameran ikhtiar hidup yang diadakan di kem 20RAMD di Miri baru-baru ini.

SEMANGAT patriotik dan jati diri yang utuh harus disemai di kalangan anak-anak seawal peringkat sekolah rendah lagi sebagai usaha untuk melahirkan generasi yang cintakan bangsa dan negara.

Pegawai Memerintah Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20RAMD), Leftenan Kolonel Zamri Othman berkata ini penting kerana dengan adanya kedua-dua elemen ini, ia boleh menjadi alat kawalan kendiri bagi setiap anak-anak agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial.

“Sebagaimana yang kita tahu, generasi muda sekarang banyak berdepan dengan pelbagai cabaran terutama gejala sosial yang boleh meruntuhkan akhlak mereka.

“Justeru bila ada jati diri yang utuh, setiap anak-anak itu boleh berfikiran dengan baik sebelum melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan pada diri, keluarga, bangsa dan juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo pada Program Langkah Patriotik Anak Bangsa (PLPAB) yang berlangsung di Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20RAMD) di Miri baru-baru ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Memerintah Mejar Shamsuri Noordin.

LASAK: Murid-murid turut diberi peluang menjalani latihan ketenteraan yang berlangsung di kem 20RAMD di Miri baru-baru ini.

Dalam pada itu menurut Zamri, objektif utama program ini dianjurkan adalah untuk menyemai semangat patriotik, jati diri, semangat setia kawan dan kerjasama berpasukan di kalangan murid-murid sekolah rendah .

“Ia juga merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pasukan kerana NBOS tidak semestinya melibatkan orang dewasa sahaja sebaliknya boleh diperluaskan kepada murid sekolah,” ujar beliau lanjut.

Beliau turut memberitahu program sulung itu diadakan atas permintaan banyak pihak terutama sekolah-sekolah yang terdapat di bahagian Miri.

“Kita terima banyak permintaan daripada pihak sekolah untuk mengadakan lawatan ke kem. Berikutan itu, kita telah menggabungkan beberapa buah sekolah dan menganjurkan program ini secara bersepadu untuk mereka,” katanya.

Seramai 220 orang murid dan 20 orang guru pengiring dari lima buah sekolah rendah di bahagian Miri yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Riam Batu 2, SK Tudan, Sk Lutong, Sk Jalan Bintang dan SK Miri telah menghadiri program sehari itu.

Manakala pengisian program adalah demonstrasi latihan ketenteraan, pameran senjata, pameran ikhtiar hidup dan ceramah kerjaya ketenteraan.

Advertisement