Anda di sini

Kejayaan sebagai negara berbilang kaum, agama juga bantu Malaysia duduki kerusi UNSC

Advertisement

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata kejayaan Malaysia menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) juga disebabkan kejayaannya sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Kita boleh tunjuk pada dunia dengan cara merendah diri, melalui konsep kesederhanaan dan kompromi dalam politik (yang diamalkan di Malaysia),” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti GERAKAN ke-43 di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Najib berkata Barisan Nasional (BN) menolak sebarang bentuk ekstremisme dalam usaha memajukan negara berlandaskan asas yang ditinggalkan pemimpin terdahulu.

Pemimpin terdahulu telah menggubal Perlembagaan negara berasaskan kompromi politik dan mereka mempercayai integrasi nasional dan bukan asimilasi bangsa, katanya.

“Kita mempunyai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain juga boleh diamalkan di negara ini dan kita juga ada agama Islam sebagai agama rasmi tetapi agama lain boleh diamalkan tanpa sekatan,” katanya. — Bernama

Advertisement