Anda di sini

GERAKAN gesa media agar tidak lapor berita sensitif

Advertisement

Isu sensitif yang disiar dikhuatiri akan terus disensasikan

SHAH ALAM: Parti GERAKAN semalam menggesa media supaya tidak menyiar atau melaporkan berita-berita sensitif terutama berkaitan isu perkauman yang ditimbulkan oleh pemimpin dan ahli politik.

Naib Presiden GERAKAN, A. Kohilan Pillay berkata langkah itu bagi mengekang isu sensitif tersebut daripada terus disensasi hingga menimbulkan reaksi tidak baik di kalangan rakyat.

“Kepada media, kita jangan bagi sebarang publisiti kepada mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur perkauman.

“Jika itu berlaku kita seolah-olah menjadikan mereka ‘hero’ sedangkan kita perlu katakan ‘tidak’ kepada kenyataan-kenyataan sensitif seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas ucapan dasar Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong pada Persidangan Perwakilan Nasional parti itu di sini.

Terdahulu, Mah dalam ucapan dasarnya berkata anggota dan pemimpin GERAKAN yang mengeluarkan kenyataan mengandungi unsur perkauman akan dikenakan hukuman berat termasuk dipecat.

Kohilan berkata media harus memahami tanggungjawab mereka, kerana pengaruh media mampu membawa kesan baik atau sebaliknya ke atas masyarakat.

Sementara itu, Mah dalam ucapan penggulungannya berkata GERAKAN mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional kerana berpendapat akta baharu itu mengandungi nilai-nilai positif.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mendapatkan maklum balas daripada semua pihak terlebih dahulu sebelum memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mah berkata GERAKAN  akan mengemukakan pelan lengkap untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang, sebagaimana dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita ambil nasihat beliau (Najib). Saya akan bekerja bersama pengerusi GERAKAN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, yang juga pengerusi Barisan Nasional negeri dan diharap menjelang tahun depan, kita dapat sediakan pelan lengkap mengenai strategi kita,” kata beliau.

Beliau mengambil perhatian bahawa adalah penting bagi GERAKAN memenangi kerusi dewan undangan negeri Pulau Pinang oleh kerana parti itu berhasrat menjadi suara rakyat.

Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN ke-43 yang bermula pada Jumaat lalu menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan, berakhir semalam selepas tiga hari bersidang. — Bernama

Advertisement