Anda di sini

Sarawak perlukan pusat latihan memanah

Advertisement

KUCHING: Jurulatih memanah Sarawak, Abdul Razak Yaacob berharap kerajaan negeri akan mewartakan tanah yang terletak bersebelahan Stadium Perpaduan, Petra Jaya untuk dijadikan pusat latihan memanah baharu.

Menurutnya, Persatuan Memanah Sarawak (PEMASA) telah mengukur tanah seluas satu setengah ekar itu dan mendapati sangat sesuai untuk dijadikan pusat latihan memanah.

“Sarawak masih belum mempunyai lapangan memanah yang setaraf dengan negeri-negeri lain. Tambahan pula kita memang memerlukan lapangan memanah baharu sebagai venue SUKMA 2016,” katanya ditemui di sini semalam.

Menurutnya, lapangan baharu itu juga boleh dijadikan pusat kecemerlangan memanah negeri bagi mengumpul atlet-atlet berpotensi untuk diberi latihan lebih intensif.

Sementara itu, Abdul Razak berkata pihaknya hanya akan menghantar seramai empat peserta lelaki dan empat wanita bagi menyertai Sukan Persahabatan Kawasan Pertumbuhan Asia Tenggara Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) kelapan berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan dari 6 hingga 10 Disember depan.

Katanya, kebanyakan peserta merupakan atlet bayangan SUKMA yang akan bersaing dalam kategori ‘recurve’.

“Atlet bayangan sudah dikenal pasti namun saya masih belum membuat pemilihan terakhir. Yang pasti saya akan memberi peluang kepada atlet SUKMA sebagai pendedahan menghadapi 2016 nanti,” katanya.

Bagi memantapkan persediaan mereka, Abdul Razak bercadang untuk menyertai sirkit kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 21 hingga 27 Oktober ini.

Advertisement