Anda di sini

Saingan Bola Sepak Pantai Jemputan BDA 28-30 Nov ini

Advertisement

KUCHING: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Pantai Jemputan BDA edisi pertama di Taman Rekreasi Pantai Tanjung Batu, Bintulu pada 28 hingga 30 November depan.

Pengerusi Futsal & Bola Sepak Pantai Negeri Sarawak, Razali Dolhan berkata kejohanan julung kali diadakan itu anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Ini adalah kali pertama kita menganjurkan kejohanan bola sepak pantai bertujuan mempromosi sukan ini dengan lebih intensif kepada masyarakat terutama golongan remaja di sini.

“Selain itu, ia juga akan menjadi landasan bagi mencari pemain-pemain berbakat yang boleh kita ketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya di sini semalam.

Razali menambah, kejohanan itu juga akan dijadikan acara tahunan sebagai pendekatan untuk memajukan industri pelancongan negeri.

“Kita mensasarkan penyertaan lebih 10 pasukan dari semua bahagian negeri untuk edisi pertama ini.

“Selain itu, kita juga akan menjemput beberapa pasukan dari jabatan-jabatan kerajaan yang berminat bagi memeriahkan acara ini,” tambahnya.

Hadiah masih belum diputuskan namun penganjur menjanjikan pulangan lumayan bagi setiap pemenang.

Advertisement