Anda di sini

Freddy tetap rasa berpuas hati

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Duduki tempat keempat perlumbaan Rotax Max DD2 – Cabaran Asia Max di Litar Sepang

TERBAIK: Freddy (kiri), Lee, Kong, Chua dan Leon meraikan kemenangan bersama penaja dan pengeluar minyak gokart Xeramic, Ton Koebolt.

KUCHING: Pelumba gokart antarabangsa, Freddy Numan Lawan tetap berpuas hati dengan pencapaiannya menduduki tempat keempat pada perlumbaan pusingan keenam Rotax Max DD2 – Cabaran Asia Max yang berlangsung di Litar Karting Sepang pada minggu lalu.

Menurut Freddy, kejayaan menaiki podium setelah berehat selama lapan bulan akibat kecederaan sememangnya satu bonus baginya kerana beliau tidak meletakkan apa-apa sasaran spesifik pada perlumbaan tersebut.

“Saya hanya mahu menguji keupayaan diri di litar setelah berehat lama akibat kecederaan. Pencapaian ini memang di luar dugaan dan secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun, Freddy mengaku keupayaan fizikal, kecergasan dan staminanya belum mencapai tahap optimum dan beliau perlu bekerja keras untuk mengembalikan prestasi terbaiknya bagi menghadapi cabaran pada tahun depan.

Pada perlumbaan tersebut, Freddy diletakkan dalam kategori veteran bersama bersama 22 pelumba lain yang turut bersaing dalam kategori masters.

Beliau meraih kedudukan ketiga dan kedua pada saringan pertama dan kedua.Berbekalkan pengalaman meluas, Freddy akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan sebanyak 20 pusingan di tangga keempat dengan catatan masa 17:04.056s meskipun dihalang pelumba lain sepanjang perlumbaan.

Perlumbaan dimenangi Kong Chun Keat dari Malaysia, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi pelumba dari Singapura, Lee Lung Nien dan Chua Peng Chew.

Seorang lagi pelumba dari Singapura, Leon Kho meraih tempat kelima.

Menurut Freddy, beliau juga akan menyertai pusingan kelima Malaysia Super Series Cars yang akan berlangsung pada 30 Oktober hingga 2 November depan di Litar Antarabangsa Sepang.

“Jadual saya akan lebih sibuk bermula tahun depan kerana turut menyertai perlumbaan ‘touring car’. Cabaran baharu ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus berlumba demi mengharumkan nama negeri dan negara di arena antarabangsa,” katanya.

Advertisement