Anda di sini

Beliawanis GERAKAN nikmati keahlian berkembar dalam parti

Advertisement

SHAH ALAM: Anggota wanita GERAKAN yang berusia 35 tahun dan ke bawah akan menikmati keahlian berkembar dalam parti iaitu sebagai anggota sayap Pemuda dan Wanita.

Timbalan Presiden GERAKAN Dr Cheah Soon Hai berkata perkara itu dapat direalisasikan apabila biro Beliawanis yang sebelum ini diletakkan di bawah sayap Wanita akan dipindahkan ke sayap Pemuda.

Beliau berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk melakukan perubahan demi memperkasakan perjuangan parti dan menarik minat golongan muda.

“Parti kita masih lagi mengkaji langkah yang sesuai untuk memperhalusi perubahan yang perlu dilakukan dengan Beliawanis, termasuk dari faktor usia anggotanya.

“Ini kerana, terdapat jarak usia 10 tahun kerana had usia untuk keahlian Pemuda ialah 45 tahun manakala keanggotaan Beliawanis ditetapkan untuk wanita berusia di bawah 35 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Bersama Persidangan Perwakilan Nasional Pemuda dan Wanita GERAKAN di sini, semalam.

Beliawanis merupakan biro di bawah sayap Wanita yang dikhaskan untuk anggota wanita parti itu yang berusia 35 tahun dan ke bawah.

Beliau berkata, walaupun biro Beliawanis dipindahkan di bawah sayap Pemuda, anggota dalam biro itu akan kekal bagi anggota sayap Wanita dan pada masa sama turut menikmati keahlian sebagai Pemuda.

Beliau berkata, pembaharuan itu akan dilakukan secara berperingkat bermula dengan pindaan perlembagaan dalam sayap Pemuda agar sesuai dengan ‘kehadiran’ anggota wanita itu.

Cheah menambah, keahlian berkembar itu juga akan membolehkan anggota Beliawanis bertanding dalam pemilihan pimpinan dan boleh menjawat dua jawatan di kedua-dua sayap terbabit.

Terdahulu dalam ucapannya, Cheah menekankan kepentingan untuk menyekat penyebaran ekstremisme dan budaya fahaman melampau seperti keganasan dan pemisahan bagi memelihara perpaduan dan kestabilan negara.

Cheah turut menyentuh penglibatan segelintir rakyat Malaysia, khususnya anak muda dengan kumpulan pengganas di Timur Tengah, yang dibimbangi boleh mencetuskan kerisauan jika pulang ke tanah air dengan pengalaman menggunakan senjata api.

“GERAKAN percaya kesederhanaan merupakan pendekatan terbaik untuk mencapai konsensus dan memelihara kemuafakatan dalam masyarakat Malaysia,” katanya menambah konsep itu selari dengan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. — Bernama

Advertisement