Anda di sini

UNSC: Tugas berat di bahu Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk membantu menangani pelbagai isu selaku Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kata Pengerusi Yayasan Pergerakan Kesederhana Global (GMMF) Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata selain keselamatan politik, semakin banyak isu kritikal yang datang untuk perhatian Majlis Keselamatan termasuk isu alam sekitar, kemanusiaan, ketidakadilan sosial dan jenayah transnasional.

“Nampaknya mereka yang telah memilih kita dengan undi yang besar memiliki idea yang baik di dalam minda mereka bahawa kita boleh melakukannya. Justeru, kita tidak boleh menghampakan mereka.

“Saya fikir melaksanakan tanggungjawab kita dalam Majlis Keselamatan sekarang mungkin lebih sukar daripada sebelumnya tetapi kita telah belajar tiga kali dan saya membayangkan Malaysia akan melaksanakan tugasnya dengan baik, beliau memberitahu wartawan di Sidang Kemuncak Belia Rusia-ASEAN di sini semalam.

Razali berkata demikian ketika mengulas kejayaan Malaysia menduduki satu kerusi dalam UNSC sebagai anggota tidak tetap mulai 1 Jan 2015 sehingga 31 Dis 2016. Malaysia memperoleh 187 undi daripada 192 negara anggota dalam undi sulit di New York kelmarin.

Malaysia menduduki kerusi tidak tetap UNSC buat kali pertama pada 1965 dan dipilih semula menyertai majlis itu pada 1989/1990. Ia menduduki kerusi itu buat kali ketiga pada 1999/2000.

Sementara itu, Razali berkata GMMF adalah sebuah pertubuhan yang mengetengahkan konsep kesederhanaan yang boleh memainkan peranan dalam membantu menerapkan semangat itu bagi menangani pelbagai isu.

Ini temasuk isu ekonomi dan kewangan yang memerlukan peraturan dalam mengendalikannya dan tidak membiarkan kuasa pasaran atau kapitalisme menguasainya bagi mengelakkan golongan kelas bawahan dan pertengahan terjejas, katanya.

“Sesuatu yang tidak betul dalam prasarana kewangan jika dilihat daripada perspektif antarabangsa. Kami memiliki pakar di Malaysia yang boleh bercakap mengenai perkara ini, tidak semestinya daripada Majlis Keselamatan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Duta Rusia ke Malaysia Lyudmila Vorobyeva memuji kejayaan Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap UNSC.

“Saya berharap idea gerakan sederhana akan membantu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan dalam dunia kita,” katanya.

Vorobyeva merasmikan sidang kemuncak tiga hari itu yang menghimpunkan 86 belia dari Malaysia, Rusia dan negara ASEAN.

Sidang Kemuncak itu yang dianjurkan bersama GMMF, Pusat ASEAN di Moscow State Institute of International Relations University dan Akademi Belia bertujuan menghubungkan belia menjadi satu masyarakat yang bersatu dan menyemaikan nilai kesederhanaan dalam kalangan pemimpin akan datang di rantau ini. — Bernama

Advertisement