Anda di sini

Tujuh pasukan bakal berentap kejohanan ragbi Piala Baram

Advertisement

MIRI: Sebanyak tujuh pasukan dari Kuching, Bintulu, Sibu, Miri dan Brunei berentap pada kejohanan ragbi Piala Baram Antarabangsa Cash 2014 edisi Ke-28 merangkap Piala Tan Sri Datuk Sri Peter Chin pada 25 dan 26 Oktober ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Bahagian Miri (MDRU), Antonio Kahti Galis berkata kejohanan dua tahun sekali diadakan di Stadium Terbuka Miri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Kita mengalu-alukan orang awam datang beramai-ramai memenuhi stadium bagi menyaksikan kejohanan seterusnya memberi sokongan kepada pemain-pemain terlibat khususunya pasukan tuan rumah,” katanya selepas menerima cek bernilai RM10,000 tajaan Cash Sweep di Pejabat Residen Miri di sini semalam.

Cek tersebut disampaikan kepada Antonio yang juga Residen Bahagian Miri oleh Pengurus Wilayah, Agensi Operasi Miri Natural Avenue Sendirian Berhad (Special Cash Sweep), Chong Ho Nan.

Menurut Antonio, kali terakhir pertandingan itu diadakan pada 2012 dimenangi pasukan Sabah Eagles dari Sabah.

Beliau turut berterima kasih kepada Cash Sweep yang menaja kejohanan tersebut.

Sempena majlis penutupan kejohanan itu, satu majlis makan malam turut diadakan pada 26 Oktober dan orang ramai boleh membeli tiket berharga RM35 seorang.

Majlis jamuan akan diadakan di Kelab Gymkhana Miri dan tiket boleh dibeli dengan menghubungi Sylvia Lian di talian 012-8774927.

 

Advertisement